Memandikan kucing memang tiada kaitan dengan bidang kejuruteraan. Tetapi Dr Bulan Abdullah ternyata nampak apa yang kita tidak nampak.

Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu menjelaskan penting bagi pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan.

Melalui cara itu, kata ahli akademik kelahiran Johor Bahru itu, mereka lebih selesa berkomunikasi dengan orang ramai.

“Dalam subjek Engineer and Society ini, kita perlukan elemen bukan kejuruteraan.

“Subjek ini boleh meluaskan pandangan pelajar dan mendekatkan diri mereka dengan masyarakat yang memerlukan,” kata beliau.

Pelajar tahun akhir dalam bidang kejuruteraan mekanikal perlu menyertai satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dr Bulan Abdullah 

Seramai 19 ahli kumpulan yang terlibat dalam program CSR kali ini dan mereka ditugaskan untuk menjalankan program tersebut dengan tema yang dipilih oleh pensyarah berkenaan.

“Tema seperti tempat perlindungan haiwan, pusat OKU (orang kurang upaya), dan menolong orang-orang tua adalah antara tema yang kami cadangkan,” katanya.

Tempat perlindungan haiwan yang dipilih olehnya adalah Sollu Shelter yang terletak di Klang, Selangor.

Aktiviti itu diadakan pada 31 Oktober lalu. Program itu dinamakan Give Me Four yang memerlukan peserta melakukan empat perkara iaitu membersihkan tempat kucing, memandikan, memberi makanan, dan bermain dengan kucing.

“Program ini dapat membantu dalam menyedarkan masyarakat tentang haiwan malang.

“Ia juga dapat meningkatkan hubungan dengan seluruh masyarakat dengan bertindak secara bertanggungjawab untuk menjadikan suasana yang lebih baik untuk masyarakat,” kata ketua program itu Muhammad Farid Haziq Abdul Hamid.

Bukan hanya pelajar kejuruteraan mekanikal yang terlibat dalam sukarela tersebut, malah pelajar bidang yang lain dan juga orang awam sertai untuk membantu menguruskan pusat perlindungan haiwan itu.

“Program ini kami juga menjemput mana-mana pihak luar yang berminat untuk menyertai kami sebagai volunteer mahupun yang hanya mahu memberi sumbangan” kata Haziq, 23.

Dia berharap program yang dijalankan akan memberi maklum balas yang positif dan seterusnya dapat terus dijalankan tanpa halangan.

“Harapan saya selepas program ini dijalankan adalah agar memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa memberikan kasih sayang terhadap haiwan yang paling disayangi Rasulullah ini.”

“Selain itu juga dapat sedikit sebanyak memupuk perasaan ihsan dan saling hormat makhluk secomel ini. Juga saya amat galakkan masyarakat untuk memelihara kucing kucing yang terbiar daripada membeli kucing di kedai,” katanya.

Salah seorang sukarela, Mohd Khusairi Abdul Razak, meluahkan rasa simpatinya terhadap kucing yang malang.

“Kalau tengok kucing yang lapar atau tak larat itu, tak payahlah sepak dia. Biarkan kucing itu juga tidak apa. Asalkan jangan seksa mereka,” kata pemuda asal Bangi itu.

Mohd Khusairi Abdul Razak

Dr Bulan berkata bahawa sifat kemanusiaan adalah penting untuk diterapkan.

“Saya cuma harapkan pelajar jurutera bukan hanya fokus kepada bidang pembelajaran mereka.

“Saya mahu pelajar kejuruteraan boleh dan mampu dalam semua bidang,” kata pensyarah tersebut.