PEMAIN pertahanan Arsenal, Shkodran Mustafi mempersoalkan taktikal yang digunakan Unai Emery selepas hanya mampu seri 1-1 dalam aksi Liga Europa dengan kelab Portugal, Vitoria Guimaraes semalam.

Menurutnya, Arsenal gagal meraih kemenangan ekoran eksperimen taktikal yang dilakukan Emery dengan meletakkan tiga pertahanan dalam perlawanan itu.

“Pasukan gagal mendapatkan rentak permainan kerana Emery menggunakan taktikal yang jarang sekali dimainkan.

“Kami bermain dengan sistem tiga pertahanan yang sudah lama kami tidak gunakan. Jadi, kami memerlukan waktu untuk mencari rentak.

“Di babak pertama kami tidak melakukan seperti yang kami mahukan. Saya fikir kami lebih baik di babak pertama dan kemudian segalanya berubah di separuh masa kedua,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Dom Afonso Henriques itu, Mustafi menjaringkan gol pembukaan untuk Arsenal pada minit ke-80 sebelum disamakan Bruno Duarte pada penghujung perlawanan.

Kata Mustafi, gol yang berjaya dihasilkan Vitoria itu berpunca daripada tiada keserasian di benteng pertahanan selain gandingannya bersama Rob Holding dan Sokratis gagal mencipta impak yang dimahukan.

Keputusan seri itu juga turut menyaksikan kemarau kemenangan Arsenal berterusan dalam empat perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.

“Kami perlu bangkit selepas ini. Mungkin dalam perlawanan ini kami tidak bernasib baik dan semua pemain sedar perlu mencari kemenangan untuk menaikkan kembali motivasi buat pasukan,” katanya.