PARLIMEN | R Edmund Santhara (PH-Segamat) hari ini mencadangkan agar  pusat khidmat rakyat ahli parlimen pembangkang diberi peruntukan secara berperingkat.

Ketika ini, ahli parlimen pembangkang tidak diberi sebarang peruntukan untuk pusat khidmat, sementara pusat khidmat ahli parlimen kerajaan diberi RM300,000 setahun.

Jelas Santhara, yang merupakan anggota PKR pada peringkat permulaan ahli parlimen pembangkang boleh diberi separuh daripada jumlah peruntukan pusat khidmat rakyat yang diberi ahli parlimen kerajaan.

“Dalam cadangan untuk pusat khidmat itu, kalau RM300,000 diberi kepada ahli parlimen kerajaan, saya menyeru agar ahli parlimen pembangkang diberi RM150,000.

“Kalau tiada penyelewengan, maka ia dinaikkan kepada RM200,000. Jikalau tiada penyelewengan maka dinaikkan, dinaikkan, akhirnya mereka pun dapat sama dengan kita.

“Kita harus beri mereka peluang,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2020 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik pada April 2019 menjelaskan bahawa selain daripada peruntukan bagi pusat khidmat rakyat , ahli parlimen kerajaan juga menikmati peruntukan kawasan sebanyak RM1.8 juta setahun.

Pada masa sama, kata Md Farid, ahli parlimen pembangkang mendapat RM100,000 setahun bagi peruntukan kawasan.

Mengulas lanjut, Santhara berharap kerajaan persekutuan memberi peruntukan kawasan mengikut keluasan kawasan berkenaan.

“Kita mendapati banyak ahli parlimen tidak menghabiskan duit dan seterusnya memulangkan duit…

“Manakala tempat saya tidak cukup kerana merupakan kawasan yang besar. Ini adalah kerana kawasan besar dan kecil diberi peruntukan yang sama. Itu cara kerajaan lama.

“Kerajaan baru harus belajar bagaimana kita boleh memperbaiki (agihan peruntukan),” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mendakwa bahawa kerajaan persekutuan PH tidak menolong bencana banjir baru-baru ini, terutamanya di kawasan-kawasan yang dimenangi oleh pembangkang.

“Parlimen saya pembangkang, dua ahli dewan negeri pembangkang, dua ahli dewan negeri daripada PH, dan kerajaan.

“Tetapi baru-baru ini berlaku banjir melibatkan orang Melayu, Cina dan India. Satu pun tiada bantuan daripada kerajaan diberikan.

“Oleh kerana itu, saya mohon kerajaan supaya memperuntukkan sejumlah peruntukan tabung bencana alam bagi kegunaan ahli parlimen dan Adun pembangkang untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau juga mengadu bahawa ketua-ketua jabatan tidak turun padang dalam menilai kerosakan banjir.

“Minta ketua-ketua jabatan jika ada bencana, kita panggil ketua-ketua jabatan. Apa yang nak takut, ahli parlimen wakil rakyat, ketua jabatan buat kerja. Kita panggil dia tidak datang.

“Bagaimana dia tahu kerosakan dan kemusnahan. Kata nak reform (buat pembaharuan), jadi kena ubah secara keseluruhan,” tegasnya.