Beberapa anggota Majis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang ditemui pemberita selepas mesyuarat biro politik parti sebentar tadi memberitahu perbincangan bertumpu kepada kongres nasional yang bakal berlangsung esok dan bukan masalah dalaman parti.

Mesyuarat malam ini selepas pertemuan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalannya Mohamed Azmin Ali di parlimen petang tadi.

Anggota MPP PKR, Sivarasa Rasiah berkata mesyuarat biro politik PKR yang diadakan sebentar tadi tidak membincangkan dakwaan kontroversi bekas penyelidik Muhammad Yusuff Rawther terhadap Anwar.

“Kami hanya bincang berkenaan parti..parti maksudnya kongres,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat tamat di bangunan parlimen hari ini.

Terdahulu, Anwar dituduh melakukan ‘salah laku seksual’ oleh bekas kakitangannya, Yusuff hanya enam bulan selepas parti itu digegarkan skandal video seks yang mengaitkan timbalannya, Azmin.

Muhammad Yusuff membuat tuduhan itu dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Novermber yang tidak dapat disahkan Malaysiakini secara bebas mengenai kesahihan dokumen tersebut.

Akaun bersumpah yang didakwa itu dikeluarkan sehari sebelum Kongres Nasional PKR di Melaka esok.

Sementara itu, Anwar Ibrahim ketika ditanya pemberita mengenai mesyuarat malam ini, berkata mesyuarat berjalan lancar dan tumpuan sekarang adalah untuk menjayakan kongres parti esok.

Ketua Pemuda PKR (AMK), Akmal Nasir pula berkata perjumpaan antara Anwar dan Azmin tadi juga tiada kaitan dengan kongres berasingan PKR yang dijadual akan diadakan di Kuala Lumpur.

Katanya, Azmin juga bersetuju untuk hadir di kongres yang akan diadakan di Melaka.

Sejumlah besar pemegang jawatan AMK pusat yang dipilih, mengkritik keputusan yang dikatakan melanggar tradisi apabila timbalan presiden PKR itu tidak akan merasmikan kongres AMK.

Menurut Naib Ketua AMK Nazree Yunus suatu pertemuan berasingan akan diadakan untuk anggota dan pemimpin PKR di Renaissance Hotel di Kuala Lumpur pada hujung minggu akan datang.

Bagaimanapun, susulan selepas mesyuarat tersebut, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa Azmin bakal merasmikan kedua-dua kongres iaitu pada bahagian sayap wanita dan juga AMK.

Mesyuarat yang diadakan di salah sebuah bilik di bangunan parlimen berlangsung sekitar dua jam.

Selain itu, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga berkata bahawa tidak akan ada kongres berlainan selain yang bakal diadakan di Melaka esok.