PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan menganjurkan Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 dan 13 November ini.

Program yang julung kali diadakan itu adalah untuk memperkasakan usahawan vendor bumiputera dan dijangka disertai seramai 1,228 vendor serta 21 anchor.

Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, penganjuran program itu juga selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKU 2030) untuk merealisasikan Malaysia sebagai salah sebuah negara keusahawanan unggul.

“Keunikan penganjuran VIPP adalah penglibatan syarikat anchor termasuk pemain industri utama yang berpotensi menjadi rakan strategik syarikat anchor baharu serta vendor untuk bekerjasama dalam satu program.

“Melalui program ini juga, kementerian menyediakan satu platfom kepada syarikat anchor dan vendor untuk mengembangkan perniagaan secara cross cutting, menyeluruh dan merangkumi pelbagai peringkat rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Sesi Taklimat VIPP yang turut dihadiri Ketua Pegawai Strategi dan Penjanaan Nilai Celcom Axiata Berhad, Munif Kamaruddin di Kelab Tasik Putrajaya di sini semalam.

Wan Suraya (tiga dari kanan) bersama wakil ‘anchor’ yang akan menjayakan VIPP.

Wan Suraya (tiga dari kanan) bersama wakil ‘anchor’ yang akan menjayakan VIPP.

Wan Suraya berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung khususnya dalam kalangan vendor tempatan dan pemain industri ke program yang akan berlangsung selama dua hari itu.

“Harapan kita supaya program ini akan menjadi platform untuk mengenal pasti dan mewujudkan peluang-peluang perniagaan baharu.

“Selain itu, syarikat anchor juga berpeluang mengenal pasti syarikat-syarikat vendor yang berpotensi untuk dibangunkan,” katanya.

Menurutnya, VIPP akan dijadikan acara tahunan supaya dapat memberi lebih ruang dan peluang kepada vendor tempatan mempromosikan produk masing-masing.

Majlis perasmian VIPP dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.