RANTAU PANJANG: Seorang lelaki meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika mengharungi banjir di hadapan rumahnya di Kampung Tasek Permai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, Mohd Zulkifli Yacob, 51, dipercayai berpaut pada tiang elektrik di hadapan rumahnya ketika cuba mengambil buah nona yang terletak kira-kira 10 meter daripada rumah sebelum jatuh pengsan.

Anaknya, Mohd Zunaidi Mohd Zulkifli, 27, berkata ketika kejadian dia berada di tempat lain sebelum dihubungi saudara yang memaklumkan kejadian menimpa ayahnya.

Katanya, sebaik tiba di rumah selepas mengharungi arus air deras separas satu meter, hatinya luluh melihat jasad bapanya terbaring di atas jalan.

“Saya terus menghampiri bapa yang sudah dikerumuni orang kampung namun mereka memberitahu bahawa bapa sudah tidak bernyawa.

“Orang kampung membantu menghubungi pihak bomba dan polis untuk meminta bantuan kerana penempatan kami sudah terputus hubungan selain terkepung akibat banjir.

“Bapa saya seorang yang peramah dan banyak cakap, namun sejak beberapa hari lalu dia banyak berdiam diri dan termenung. Mungkin ia adalah petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Kampung Tasek Permai, di sini, hari ini.

Jenazah Mohd Zulkifli diusung sejauh satu kilometer meredah banjir oleh pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta pihak polis menaiki jentera berat milik Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

Mohd Zunaidi yang kelihatan sedih, reda dengan kejadian yang menimpa bapanya dan berharap agar urusan pengebumian dapat diselesaikan segera.

“Arwah mungkin dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Deh kerana tempat pengebumian terdekat sudah ditenggelami banjir.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak bomba, polis dan anggota SMART kerana bertungkus lumus membantu membawa keluar jenazah bapa saya,” katanya yang juga anak sulung daripada dua adik beradik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, polis masih menunggu laporan daripada hospital dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kematian mangsa.