Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini membentangkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) bertajuk “Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur”, membabitkan 8 bab utama bagi tempoh 2020 hingga 2030.

Mohamad berkata, KPP dibuat selepas melihat negara menghadapi pelbagai ancaman seperti ekstremisme, penculikan, penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan pendatang serta pelbagai aktiviti lain.

“KPP dibangunkan bagi melibatkan rakyat dan pihak berkepentingan dalam isu pertahanan negara. KPP juga menjelaskan persekitaran strategik keselamatan yang sentiasa berubah dan bagaimana keadaan itu mempengaruhi keselamatan Malaysia.

“Seterusnya, kaedah dan pendekatan untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dikenal pasti bagi tujuan pelaksanaan.

“KPP memenuhi visi negara melalui 3 keberhasilan iaitu keesahan, penerimaan dan kebolehpercayaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

KPP menggariskan 3 elemen utama iaitu, pembabitan rakyat dan pihak berkepentingan; menilai persekitaran strategik keselamatan negara yang sentiasa berubah; dan meneroka pendekatan bagi meningkatkan keupayaan dan kesiagaan pertahanan negara.

Ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara maritim dengan meletak dan memaksimumkan potensi sebagai gerbang penjalin antara rantau Asia-Pasifik dan Lautan Hindi, bagi jangka panjang.

Mohamad berkata, negara juga menghadapi ancaman bukan tradisional merentasi sempadan, memandangkan ancaman keganasan dan ekstremisme terhadap keselamatan negara semakin meningkat.

Menurutnya, bentuk ancaman itu selari dengan perkembangan semasa di negara jiran dan Asia Barat.

“Ruang siber adalah domain baru keselamatan dan geopolitik negara yang berpotensi untuk mengganggu keselamatan negara tanpa perlu menggunakan tindakan kinetik (fizikal).

“Disebabkan halangan teknologi dan kos yang lebih rendah, kumpulan pengganas mungkin menggunakan makmal bagi menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran untuk menyerang kepentingan Malaysia.

“Negara turut terdedah kepada bahaya alam semula jadi dan alam sekitar. Bencana alam berkaitan dengan iklim dan kejadian cuaca yang melampau semakin meningkat, mengancam keselamatan, kesihatan, dan pembangunan Malaysia,” katanya.

Jelas Mohamad, menerusi KPP Putrajaya beriltizam untuk membangunkan ATM agar menjadi angkatan yang bersepadu, tangkas dan berfokus yang mempunyai 5 ciri utama iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi.

“Ciri-ciri ini akan membentuk angkatan yang berupaya diatur gerak dengan pantas, melaksanakan pelbagai peranan dan mampu beroperasi di empat domain utama, iaitu maritim, udara, darat, dan siber elektromagnetik.

“Sejajar dengan panduan daripada kerangka dasar luar Malaysia yang baru, KPP menzahirkan penekanan untuk menolak penggunaan tindakan kekerasan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian atau konflik.

“Malaysia mengambil pendekatan penyelesaian secara aman dalam menangani semua bentuk pertikaian. Kerajaan menzahirkan iltizam ini dengan mengguna pakai postur defensif, iaitu Cegah Rintang Berpadu,” katanya.

Mengulas mengenai pertambahan bilangan jumlah anggota tentera, Mohamad berkata, kesiagaan operasi dan pencapaian misi hanya boleh dicapai sekiranya anggota ATM direkrut, dibentuk dan dikekalkan kemahiran bagi mendepani segala cabaran mendatang.

“Kerajaan juga akan memastikan elaun, insentif dan kemudahan lain seperti kesihatan dan perumahan sentiasa di kaji semula. KPP turut menzahirkan aspirasi untuk membentuk angkatan yang anjal sebagai menguat dan menambah besar Angkatan Tetap.

“Peranan kedua-dua Simpanan Angkatan Tetap dan Angkatan Sukarela wajar untuk diperluas agar dapat diatur gerak bersama angkatan Tetap semasa konflik serta membantu pihak berkuasa awam semasa kecemasan dan bencana,” katanya.

Beliau menambah, KPP juga tidak meminggirkan kebajikan anggota tentera veteran dengan fokus utamanya meningkatkan taraf sosioekonomi golongan itu melalui peningkatan kebolehpasaran sebagai peluang kerjaya kedua dan keperluan sosial lain seperti penjagaan kesihatan, bantuan berkaitan seperti sara hidup, persekolahan dan lain-lain.

“Kerajaan bertekad untuk menyemai budaya keselamatan dalam kalangan rakyat kerana jatuh bangun sesebuah negara bergantung penuh pada kesatuan, ketahanan dan keampuhan rakyat dalam mendepani segala ancaman masa kini dan mendatang,” katanya.