PARLIMEN | Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata bahawa janji manifesto Pakatan Harapan untuk menawarkan tuisyen percuma di peringkat universiti akan dipenuhi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Di peringkat universiti, meskipun ada subsidi kerajaan, masih ada yuran minimum yang perlu dibayar oleh pelajar.

“Perkara ini masih berada di peringkat analisis akhir, untuk melihat apakah mekanisme terbaik.

“Insya-Allah, dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, kami akan cuba memastikan janji yang disebutkan itu dapat dipenuhi,” kata Maszlee di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan dari Salim Sharif (BN-Jempol) yang telah bertanya mengenai janji manifesto PH untuk pendidikan percuma serta bantuan daripada kerajaan untuk pelajar B40.

Maszlee juga menegaskan bahawa persekolahan peringkat rendah dan menengah sudah pun percuma ketika ini.

Beliau juga berkata kementeriannya sudah menyediakan banyak insentif kepada pelajar B40.

Bukan itu sahaja, katanya, kementerian lain juga mempunyai banyak inisiatif untuk menaikkan dan membantu pelajar B40.