Malaysia mempunyai asas untuk tidak memenuhi kehendak Kemboja supaya menghantar pulang pemimpin pembangkang negara itu, Mu Suchua yang hidup dalam buangan.

Jelas Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah, ini kerana pemimpin pembangkang berkenaan memasuki Malaysia tidak menggunakan pasport antarabangsa Kemboja.

“Kita memang ada terima surat daripada Kemboja, senarai nama ahli politik dari Kemboja. Mereka minta kita hantar balik ke Kemboja.

“Kita tengok pada kes, sebagai contoh seseorang itu datang dan dia adalah rakyat Amerika Syarikat atau Perancis.

“Dia (pemimpin pembangkang) bukan guna pasport Kemboja, jadi apa kita boleh lakukan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, malam tadi selepas Syarahan Umum Tokoh Kuliah Bangsar Utama.

Khamis lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia cuba mencari negara lain yang sanggup menerima pemimpin pembangkang Kemboja yang hidup dalam buangan, yang ditahan oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mahathir berkata kerajaan Malaysia tidak mahu ‘​​​​​​​bergesel’ ​​​​​​​dengan kerajaan lain kerana ia bukan urusan negara ini.

Wanita berusia 65 tahun, yang juga naib presiden Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) yang diharamkan di negara itu, dilaporkan ditahan oleh Jabatan Imigresen ketika tiba di KLIA dengan menggunakan pasport Amerika Syarikat.

“Kami mahu mengusirnya tetapi ada orang minta dia datang ke sini….kini kami cuba mencari mana-mana negara yang boleh menerimanya.

“Oleh kerana mereka melakukan jenayah di negara lain, tindakan diambil (ditahan) bukan kerana jenayah yang mereka lakukan di sini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan​​​​​​​ mesyuarat ​​​​​​​Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan) di Perdana Putra, di Putrajaya.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, kerajaan bagaimanapun akan memantau pemimpin pembangkang berkenaan bagi memastikan beliau tidak menjadikan Malaysia sebagai tempat untuk melancarkan gerakan politik.

Katanya, Malaysia juga sudah menjelaskan kepada pihak kedutaan Kemboja di negara ini berhubung keputusan tidak menghantar pulang Sochua.

Sementara itu dalam syarahannya, Saifuddin berkata kerajaan akan meningkatkan lagi pemantauan maritim di perairan Laut China Selatan.

Katanya, kementerian memerlukan peruntukan yang agak besar bagi meningkatkan lagi kawalan di kawasan perairan negara khususnya membabitkan kawasan bertindih di Laut China Selatan.

“Kita Wisma Putra selepas kajian dibuat, kita perlu perkukuhkan maritim di Wisma Putra.

“Saya cadang ia dibesarkan (kawalan maritim) dengan peruntukan yang lebih kerana isu maritim cukup besar,” katanya.

Dalam isu berasingan, Saifuddin berkata Malaysia akan mengemukakan cadangan bagi merombak sistem veto yang diguna pakai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, cadangan itu akan dibentang sempena sambutan ulang tahun ke 75 pertubuhan itu tahun depan.

Walapun menyedari ia agak sukar, namun kata Saifuddin sekurang-kurangnya kerajaan berusaha melakukan perubahan terhadap sistem veto yang ada kini.

“Ini benda yang besar, kuasa besar tidak akan setuju, tapi kalau kita tidak mula (cadangan), sampai bila tidak berubah.

“Kita nak guna semangat sambutan ulang tahun ke-75 untuk perbaiki PBB.

“Saya dah mulakan (kempen) di kalangan negara-negara ASEAN, saya akan bawa pada mesyuarat menteri-menteri ASEAN,” katanya lagi.