KUALA TERENGGANU – Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) disediakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara percuma kepada orang ramai termasuk bukan ahli KWSP.

Wakil KWSP yang ditemui pada Seminar Celik Kewangan 2.0 yang diadakan di Primula Beach Hotel di sini baru-baru ini berkata, walaupun perkhidmatan itu disediakan sejak lima tahun lalu, namun masih ramai tidak mengetahui kelebihannya.

Menurutnya, semua pegawai RAS di KWSP seluruh negara adalah terlatih dalam memberikan konsultansi kewangan.

“Secara asasnya, kami mencadangkan setiap ahli KWSP perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 dalam akaun 1 mereka selepas bersara pada usia 55 tahun.

“Tapi realitinya, jumlah RM240,000 itu masih tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sehingga ke akhir hayat. Sebab itu kami menggalakkan rakyat Malaysia datang berjumpa dengan pegawai RAS untuk mendapatkan konsultansi.

“Kecenderungan para persara menggunakan wang persaraan mengikut kehendak dan bukannya keperluan amatlah tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, ahli KWSP tidak semestinya mengeluarkan semua simpanan sebaik sahaja mereka bersara.

Katanya, KWSP juga menawarkan khidmat di mana ahli dapat menentukan jumlah keperluan kewangan mereka setiap bulan dan KWSP seterusnya akan memasukkan jumlah yang telah ditentukan ke dalam akaun bank mereka secara bulanan.

“Kita lihat ada kecenderungan dalam kalangan ahli KWSP untuk menggunakan semua duit itu selepas bersara.

“Sebagai contoh, ada segelintir persara yang berbelanja mengikut kemahuan mereka seperti membeli rumah baharu, jam baharu, malah kereta baharu kerana berasakan simpanan KWSP mereka ini cukup untuk menampung kehidupan mereka hingga ke akhir hayat.

“Oleh itu, adalah penting membezakan antara keperluan dan kehendak,” katanya.

Seminar Celik Kewangan 2.0 dianjurkan oleh KWSP bersama Sinar Harian dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Rahmat Ali dan Muhammad Abu Kadir Ali bersama selebriti, panelis dan peserta yang menjayakan Seminar Celik 
Kewangan 2.0 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu baru-baru ini.- Foto: ROSLI TALIB

Rahmat Ali dan Muhammad Abu Kadir Ali bersama selebriti, panelis dan peserta yang menjayakan Seminar Celik
Kewangan 2.0 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu baru-baru ini.- Foto: ROSLI TALIB

Antara panelis yang terlibat ialah Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP, Razali A. Rahman, Mohd Fadzlee Alwi dan Nur Afiqah Amirudin serta Pakar Perunding Pembangunan Perniagaan MDEC, Ab Aziz Abu Bakar.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti terkenal, Mohammad Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan dan Issey Fazlisham selaku moderator.

Hadir sama, Timbalan Pengurus, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Muhammad Abu Kadir Mubarak Ali dan Ketua Negeri KWSP Terengganu, Rahmat Ali.

Rancang perbelanjaan keluarga.

Sementara itu, Mat Dan mengakui beliau seorang yang sangat mementingkan perancangan kewangan.

Menurutnya, beliau gemar mengembara secara backpacker untuk tempoh yang panjang, justeru beliau perlu bijak berbelanja supaya tidak keputusan wang.

“Disebabkan kembaralah, saya sampai ke Terengganu dan jatuh cinta dengan keindahannya. Tapi seiring dengan perubahan dan waktu, saya perlu membahagikan antara keperluan dan kehendak.

“Apatah lagi saya sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak, komitmen saya kini lebih banyak. Namun, saya bertuah kerana isteri turut membantu dalam merancang ekonomi dan kewangan keluarga.

“Secara tidak langsung, kami boleh menentukan mana satu keperluan yang perlu diutamakan. Percaya atau tidak, saya tidak mempunyai kad kredit kerana tidak mahu ada komitmen hutang. Jika mampu, saya beli. Jika tidak, saya abaikan atau berusaha menyimpan kerana tidak mahu terbeban dengan hutang,” katanya.

Berkongsi tentang konsep simpanan persaraan di negara asalnya, United Kingdom, Mat Dan berkata, tahap kesedaran rakyat di sana amat baik dan kebanyakkannya menyimpan untuk persaraan kerana kos sara hidup di negara itu adalah sangat tinggi.

Malah katanya, kebanyakan individu lepasan kolej atau universiti di sana sudah mula menyimpan sebaik sahaja selesai pengajian kerana mereka sedar simpanan yang banyak akan diperlukan apabila mereka meniti usia persaraan.

“Saya lihat perkhidmatan dan produk yang ditawarkan KWSP sangatlah tersusun dan banyak kelebihan jika mendaftar sebagai ahli KWSP. Jadi, ia sememangnya peluang yang harus direbut.

“Bagi yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap, mereka masih boleh menyimpan untuk hari tua melalui i-Saraan. Ia tentunya memberi nilai tambah kepada simpanan mereka bagi menjamin masa depan,” katanya.