KUALA LUMPUR – KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) membuka cawangan terbaharunya yang ke-419 di Jalan Genting Kelang secara rasminya di sini hari ini dengan menawarkan kira-kira 9,000 pelbagai barangan.

Sempena pembukaannya, KK Super Mart Jalan Genting Kelang turut menawarkan harga promosi menarik dan ‘tidak masuk akal’ sehingga 8 November ini kepada pelanggan untuk pelbagai barangan.

Barangan tersebut, antaranya ‘cheapest in town’ iaitu harga bagi sepapan telur (30 biji) gred B, potongan sehingga 55 peratus untuk air tin dan diskaun lebih 40 peratus untuk pelbagai jenis produk termasuk barangan penjagaan diri.

Pasar raya yang beroperasi 24 jam itu juga menyediakan pelbagai perkhidmatan lain, antaranya tambah nilai kad prabayar, fotokopi dan membuat pelbagai bayaran bil seperti elektrik serta air.

Pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan sebahagian komitmen dalam usaha memperluaskan lagi cawangan KK Super Mart pada masa hadapan.

“KK Super Mart Jalan Genting Kelang ialah outlet ke-419 sepanjang tempoh 18 tahun beroperasi dan kita masih lagi menekankan serta utamakan aspek kepuasan pelanggan iaitu dari segi harga, pilihan pelbagai barangan serta perkhidmatan.

“Pelanggan yang datang bukan sahaja boleh beli pelbagai barangan sama seperti mereka pergi ke pasar raya tetapi juga boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk pembayaran tanpa tunai menerusi eWallet.

“Tawaran pelbagai barangan dan perkhidmatan ini secara tidak langsung menjadikan KK Super Mart sebagai pusat sehenti (one stop center) yang sememangnya mampu memudahkan pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis pembukaan KK Super Mart Jalan Genting Kelang di Taman Ayer Panas di sini hari ini.

KK Chai berkata, pihaknya akan memastikan setiap cawangan yang dibuka beroperasi di lokasi strategik bagi memudahkan pelanggan dan komuniti setempat, selain setiap outlet KK Super Mart menawarkan antara 6,000 hingga 9,000 pelbagai barangan.

Menurutnya, pihaknya juga berhasrat mengintai peluang untuk pembukaan cawangan di negeri pantai timur bagi memperluaskan lagi empayar KK Super Mart.

Namun, katanya, buat masa ini pihaknya memberi tumpuan di selatan kerana masih banyak cawangan boleh dibuka di lokasi yang bersesuaian.

Beliau berkata, KK Super Mart bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya memahami kos sara hidup masyarakat pada masa kini dan kerana itulah setiap cawangannya menawarkan harga yang berpatutan.

“Kami tawarkan harga barangan yang benar-benar murah, bukan sahaja di kawasan ini tetapi juga di Malaysia dalam tempoh seminggu sempena pembukaan cawangan terbaharu ini,” katanya.