KUALA LANGAT – Polis mencari dua lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengusaha kebun sayur di Jalan Tali Air Dusun Durian di sini 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, dua lelaki terbabit dikenali sebagai Munir dan Bimol yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

“Kedua-individu itu diminta tampil sebagai saksi bagi membantu siasatan polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua individu terbabit diminta tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat atau mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Daimie Jamilin di talian 012-8359059,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambah Azizan, selain itu siasatan pihaknya mendapati kejadian pembunuhan itu dipercayai bermotifkan dan berkaitan dengan isu pembayaran gaji.

Terdahulu, kehilangan mangsa dikenali Mamun Ahad Ali warga Bangladesh berusia 35 tahun itu disedari oleh tunangnya yang juga warga tempatan selepas mangsa gagal dihubungi.

Tunang mangsa kemudian bergegas ke kebun sayur di lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 pagi sebelum satu laporan polis dibuat.

Usaha mencari dengan dibantu Bomba Banting serta unit anjing pengesan (K9) kemudian berjaya menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di kawasan semak kira-kira 100 meter dari kolam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.