Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya memberi tempoh interim selama 25 bulan atau sehingga Dis 2021 kepada Pharmaniaga.

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini bersetuju untuk menamatkan kontrak konsesi Pharmaniaga Berhad bagi perkhidmatan logistik dan pengedaran ubat-ubatan kepada Kementerian Kesihatan, yang akan berakhir 30 Nov ini.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata penamatan itu bagi membolehkan kerajaan melaksanakan tender terbuka “dalam pemberian konsesi yang dibuka kepada pembida”.

Bagi memastikan peralihan yang lancar, kementerian memberi tempoh interim selama 25 bulan atau sehingga Disember 2021 kepada Pharmaniaga, bagi memastikan kementerian bersedia mengambil alih sebahagian tugas syarikat farmaseutikal itu dalam pengedaran ubat-ubatam.

“Langkah itu supaya tidak ada gangguan kepada pembekalan ubat-ubatan dan pengedarannya,” katanya pada sidang media hari ini.

Konsesi yang akan tamat menjelang 30 Nov ini membenarkan Pharmaniaga membeli, menyimpan, membekal dan mengedarkan sekurang-kurangnya 700 produk farmaseutikal pada senarai pembelian produk yang diluluskan.

Penamatan konsesi Pharmaniaga membekalkan ubat-ubatan dan bekalan perubatan kepada hospital awam dilaporkan 31 Okt lepas, di mana Dzulkefly berkata kerajaan tidak lagi mahu menggunakan konsesi untuk logistik dan pengedaran bekalan perubatan.

Melalui sistem tender terbuka, Dzulkefly hari ini berkata pembida yang berjaya akan diberikan kontrak 5 tahun, dan Pharmaniaga yang boleh membuat pembidaan.

“Semua layak masuk dalam tender terbuka dan pembida termasuk Pharmaniaga, sudah pasti orang akan kata syarikat itu mempunyai keupayaan itu tertakluk kepada tender,” katanya.