Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sewaktu merasmikan sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat kebangsaan hari ini.

SERDANG: Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan semalam menunjukkan bahawa “hujah” mengatakan pakatan politik kehilangan sokongan rakyat tidak benar.

“Kita menang (PRK itu) dengan kerjasama Warisan.

“Ia menunjukkan hujah mengatakan sokongan rakyat kepada kami merosot adalah tidak benar. Sekurang-kurangnya kami menang di Sandakan,” katanya kepada pemberita hari ini selepas melancarkan sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat kebangsaan di sini.

PH memenangi PRK Sandakan semalam selepas mendapat 16,012 undi.

Vivian Wong daripada DAP mengalahkan pencabar terdekatnya Linda Tsen yang mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan majoriti 11,521 undi.

Mengulas kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang yang berkata beliau akan mengundur diri daripada politik sekiranya presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri selepas ini, Wan Azizah berkata, peralihan kuasa bergantung pada keputusan kepimpinan.

“Saya mahu bersama-sama dengannya (Lim) menzahirkan Malaysia baru.”

Dalam kenyataan semalam, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, proses penggantian jawatan itu akan berjalan lancar tanpa memerlukan pilihan raya baru.

Lim memberitahu pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan bahawa beliau bersedia mempertaruhkan kerjaya politiknya atas keyakinan itu.

Mohamad sebelum itu berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan memenuhi janjinya menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.