SHAH ALAM – Menjadi imam ketika usia muda dianggap pengalaman berharga kepada Muhammad Faris Farhan Mohd. Fauzi, 13, yang tular selepas videonya mengimamkan jemaah bagi solat tarawih di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, baru-baru ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu, ia merupakan kali ketiga menjadi imam di masjid sama sepanjang tahun ini.

Katanya, sebelum ini dia diberikan amanah bagi menjadi imam solat Isyak sebanyak dua kali.

“Tipu kalau kata tidak gemuruh namun saya sentiasa bersedia serta bersyukur dalam menunaikan tanggungjawab diberikan sebaik mungkin.

“Peluang sebegini secara langsung membantu pelajar maahad tahfiz seperti kami mengetengahkan keupayaan,” katanya ketika ditemui di Maahad Tahfiz Darul Hikmah, Denai Alam di sini hari ini.

Mengimbas kembali, Muhammad Faris berkata, dia amat terkejut apabila mudirnya, Abdullah al-Hakim Zainon memaklumkan dan mencadangkan dirinya menjadi imam bagi solat tarawih di masjid tersebut pada 6 Mei lalu.

Ujarnya, perkara itu turut dimaklumkan mudirnya kepada bapanya, Mohd. Fauzi Mohd. Jais, 46, yang kemudian menyakinkan saya mampu untuk menjadi imam atas kemampuan yang ada.

Dia yang merupakan bilal sambilan di masjid memberitahu tiga surah dibacakan sepanjang menjadi imam pada malam itu iaitu Surah An-Naba, An-Nazi’at dan ‘Abasa.

“Saya mula belajar al-Quran semasa berusia 4 tahun selepas dihantar bapa dan ibu.

“Teknik taranum dipelajari melalui YouTube selain diperbaiki oleh guru agama di Sekolah Kebangsaan Subang sehingga menjadi Johan Qari Antara Sekolah bagi Zon Petaling Perdana, dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Abdullah menjelaskan Muhammad Faris merupakan pelajar pertama maahad tahfiz tersebut yang diberikan peluang menjadi imam di masjid.

“Dia (Muhammad Faris) cepat belajar, sebutan lancar dan kelunakan suaranya kerana mempunyai asas yang kukuh menyebabkan tugasan itu diberikan kepadanya.

“Maahad tahfiz ini secara keseluruhannya mempunyai 30 pelajar yang ditubuhkan sejak empat bulan lalu dan dalam proses pendaftaran dengan Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya.

Ditanya tujuan rakaman secara langsung melalui Facebook Maahad Tahfiz Darul Hikmah Denai Alam, Abdullah menjelaskan kepentingan kesedaran terhadap al-Quran sejak usia muda selain menyedarkan bahawa pelajar tahfiz sentiasa mempunyai masa depan cerah apabila tamat pengajian nanti. – K! ONLINE