Kemelut antara pelakon Nabila Huda dan peserta program Pencetus Ummah (PU) Syed berhubung isu dia berswafoto bersama anjing belum nampak tanda-tanda akan berakhir.

Terbaru, aktres itu menempelak pendekatan digunakan Syed atau nama penuhnya Mohd Bakri Syed Ishak dalam menegur kesalahan seseorang.

Kata Nabila, dalam menegur berkaitan ilmu agama, Syed sewajarnya menggunakan pendekatan bersua muka dan bukannya menggunakan media sosial sebagai medium.

“Kalau nak cakap biar lelaki, datang jumpa gua, bagitahu terang-terang begini, ‘Nabila awak dah boleh padam gambar tu sebab akan timbulkan fitnah’,” katanya panjang lebar melalui klip video dimuat naik di Instagram miliknya hari ini.

Menurutnya, sekiranya berminat untuk berjumpa, Syed boleh bertemu dengannya di warung perniagaannya yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Awak tahu saya ada warung di TTDI, datang dan bagitahu,” katanya.

Isu timbul selepas pelakon filem Munafik itu berkongsi imej bersama seekor anjing di Instagram sewaktu bercuti – bersama keluarga termasuk ayahnya, vokalis kumpulan Search, Amy – ke New Zealand baru-baru ini.

Dia turut mengiringi perkongsian itu dengan tulisan: “Rileks, saya sudah cibuk muka dan sertu.”

 

Hantaran itu mengundang perhatian ramai termasuk daripada Syed yang menyelar perbuatan berkenaan dengan mendakwa ia boleh mendatangkan fitnah kepada umat Islam, selain membawa pengaruh buruk.

Sebagai respons, ketika ditemui pada majlis Anugerah Skrin (ASK 2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini, aktres berkenaan menjawab semua manusia sepatutnya menyayangi haiwan termasuk anjing.

Nabila juga mengakui dia berkongsi imej bersama baka Siberia Husky itu kerana dia seorang pencinta haiwan. 

Syed melalui akaun Instagram miliknya pula secara berkias berkata, umat manusia sudah melalui fasa akhir zaman dan kini muncul pula mazhab baru.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara langsung, status itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perkongsian daripada video Nabila yang dimuat naik kira-kira 7 jam sebelum itu.

“Akhir zaman, muncul mazhab baru iaitu mazhab al artis.

“Mazhab ni ramai pengikut dan paling mudah mempengaruhi masyarakat. Walaupun mereka menafikan dan menyatakan mereka manusia biasa, tetap mereka tak boleh lari daripada jadi perhatian masyarakat.

“Jika elok pembawakan mereka, pasti pengikutnya akan jadi baik, jika sebaliknya, fikir-fikirlah sendiri,” katanya.

Sementara itu, kenyataan daripada pejabat Mufti Wilayah menjelaskan, mengikut konsep pemahaman mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu dikira sebagai najis.

Justeru, menyentuh anjing dilakukan dengan sengaja tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah tidak dibenarkan dan menyentuhnya membawa kepada dosa dan wajib disamak.