UNIFI dengan kerjasama Paragon Vest Sdn Bhd telah melancarkan ‘Jersi Edisi Terhad’ Team Malaysia menjelang Sukan SEA 2019 di Filipina yang dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Dengan cetakan belang harimau pada jersi berkenaan, ia dianggap sebagai simbol kekuatan, kuasa, kepantasan dan kebanggaan negara selain mewakili semangat para penyokong yang memberikan aspirasi kepada para atlet Malaysia di pentas dunia.

‘Jersi Edisi Terhad’ Team Malaysia telah dilancarkan bersama oleh Pemangku Naib Presiden Eksekutif Unifi, Moharmustaqeem Mohammed, Pengarah Paragon Vest Sdn Bhd, Tiew Kok Kim dan pengendali skuad bola sepak Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee.

“Menyarung jersi Malaysia sentiasa menjadi kebanggaan segenap lapisan masyarakat dan menunjukkan kita semua bersatu di bawah satu bendera.

“Kami di Unifi mahu berkongsi dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan Sukan SEA dan menyokong kontinjen negara,” kata Moharmustaqeem pada majlis pelancaran ‘Jersi Edisi Terhad’ Team Malaysia di Menara TM semalam.

‘Jersi Edisi Terhad’ Team Malaysia itu boleh dipesan melalui laman sesawang iaitu www.pvestmarking.com pada harga RM59.90 sehelai mulai hari ini. Jersi itu juga akan dijual di seluruh negara dengan harga RM69.90 sehelai bermula 10 November ini.

Dalam majlis yang sama, Moharmustaqeem turut mengumumkan nama-nama bagi pencapaian jualan 15 Teratas yang memenangi tajaan perjalanan bagi menyaksikan Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Kepada skuad Harimau Malaya, gimnastik, silat dan menembak serta 795 atlet Malaysia yang akan berangkat ke Manila, Filipina, hanya satu pesanan kami ‘biar putih tulang, jangan putih mata’,” ujarnya.