Selain tekanan untuk menghadapi persaingan setiap minggu, peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Jatt Ali mengaku dia turut menerima dugaan lain di rumah.

Jatt berkata, setiap kali celik-celik mata saja bangun daripada tidur, isterinya, Norimah Zaini atau lebih mesra disapa Reezaini akan menghulurkan lirik lagu yang perlu dihafal sebagai persediaan menghadapi konsert minggu seterusnya.

“Dia seakan-akan ‘seksa’ saya, bila baru bangun tidur, baru nak makan, nak buat perkara lain lagi tapi dia dah suruh terus hafal lirik,” katanya.

Menurut Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, tindak-tanduk Reezaini itu ada kalanya membuatkan dia berasa bertambah tertekan.

“Kadang-kadang tambah tekanan pun ada. Ya, dia sepatutnya tenang sajalah,” katanya lagi.

Jatt, 63, ditemui pada sidang media selepas konsert GV6 minggu keempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, malam tadi.

Sekali lagi, Jatt berjaya menduduki senarai tangga teratas peserta yang melayakkan diri ke minggu seterusnya, kali ini selepas menyampaikan Debunga Wangi.

Lagu nyanyian asal Lefthanded itu dipersembahkan bersama artis undangan, Ayai Ilusi.

Lagu orang putih saja

Konsert berkenaan turut menyaksikan kumpulan Kool berada di tangga tercorot dengan markah 49 peratus selepas juri bersepakat kumpulan duo itu bersama artis undangan Farawahida gagal mempamerkan persembahan harmoni.

Bagaimanapun, Jatt – yang merupakan vokalis dan pemain dram kumpulan Black Dog Bone itu – berkata, dia memahami niat isterinya itu sebenarnya baik dan tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan padanya.

“Saya faham tujuan isteri sebenarnya mahu saya hasilkan persembahan yang baik dan mantap. Dia nak saya menang.

“Tu sebab dia rekod semua sesi latihan dalam telefon genggam dan minta saya tonton serta hafal semuanya,” katanya.

Sementara itu, mengulas persediaannya untuk menyampaikan lagu Benci Bilang Cinta, nyanyian asal band popular Indonesia, Radja, Jatt berkata, sememangnya dia berasa gementar kerana tidak pernah mengetahui mengenai kumpulan berkenaan.

Kata penyanyi veteran itu, sebagai seorang penghibur di kelab malam, biasanya dia hanya menyampaikan lagu-lagu rock dalam bahasa Inggeris misalnya, Led Zeppelin.

“Terus-terang tak pernah dengan band atau lagu ni, di kelab malam, saya nyanyi lagu orang putih saja.

“Cabaran ni sama sewaktu menyanyikan lagu Awallah Dondang, saya tak pernah dengar lagu tu,” kata penyanyi kelahiran Singapura itu.