Sampai bila kita mahu melihat skuad hoki lelaki negara terus kempunan untuk beraksi di pentas berprestij dunia iaitu Sukan Olimpik sejak penampilan terakhir pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Senario yang sama sekali lagi terjadi selepas 18 tahun apabila pintu ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pada Julai tahun depan sudah tertutup rapat buat pasukan dengan jolokon Speedy Tigers ini.

Ia ekoran kekalahan 1-4 dan 2-5 kepada Great Britain sekali gus tewas 3-9 secara agregat dalam dua aksi timbal balik pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di London baru-baru ini.

Barisan pemain skuad negara kini terpaksa menelan hakikat perit apabila gagal membantu Malaysia kembali ke pentas Sukan Olimpik buat kali kelima berturut-turut apatah lagi selepas dikatakan hampir RM1.7 juta telah dibelanjakan buat pasukan No. 11 dunia ini.

Semua pihak bertanggungjawab terutama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) perlu mengambil ikhtibar bagi memastikan sukan hoki negara tidak terus ‘tenggelam’ dalam zaman kegelapan, sebaliknya memastikan Speedy Tigers mampu kembali ke era kegemilangan seperti satu masa dahulu.

Tidak kiralah siapa ‘nakhoda’ baru yang akan dilantik sebagai Presiden MHC pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenaan pertengahan bulan ini tetapi sesuatu harus dilakukan.

Jadi sudah tiba masanya skuad Speedy Tigers dirombak besar-besaran dari segi barisan kejurulatihan dan pemain-pemain sedia ada.

Ia termasuklah masa depan Roelant Oltmans yang dilaporkan menerima bayaran gaji lumayan walaupun ketua jurulatih dari Belanda itu masih mempunyai baki kontrak sehingga Okt 2020.

Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Oltmans gagal mencapai Indeks Prestasi Tinggi Utama (KPI) diletakkan ke atas dirinya iaitu mengemudi Speedy Tigers layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Lebih baik wang yang banyak itu diberikan kepada pengendali-pengendali tempatan yang sudah tentu meminta bayaran gaji lebih rendah daripada yang diberikan kepada warga asing seperti Oltmans.

Malaysia tidak ketandusan jurulatih tempatan hebat dalam sukan hoki moden antaranya pengendali skuad wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang kemampuannya sudah terbukti.

Rekod beliau sehingga ke hari ini masih belum berjaya dipecahkan oleh mana-mana jurulatih iaitu memastikan skuad hoki remaja (ketika itu diberi nama Skuad Projek 2013) muncul juara Piala Hoki Remaja Asia 2011 dan meraih tempat keempat pada Piala Dunia Hoki Remaja 2013.

Beliau juga adalah individu yang berjaya memastikan skuad wanita iaitu Malaysian Tigress mencipta nama di pentas dunia dengan beberapa kali menewaskan gergasi-gergasi Eropah sejak kebelakangan tahun ini.

Sudah-sudahlah dengan taktikal ‘lapuk’ kerana Malaysia sekarang memerlukan idea-idea segar dalam permainan hoki era moden yang serba pantas seperti dilakukan pasukan-pasukan Eropah ketika ini.

Inilah juga waktu paling tepat untuk menyerapkan ‘darah-darah’ muda ke dalam skuad utama bergandingan dengan pemain-pemain senior yang masih relevan bersaing di peringkat antarabangsa.

Peminat setia hoki tanah air tidak perlu khuatir kerana Malaysia sebenarnya tidak ketandusan pemain muda berbakat kerana dunia sudah menyaksikan skuad bawah 18 tahun negara berjaya meraih pingat emas acara hoki lima sebelah pada Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina tahun lalu.

Lupakan sahaja apa yang telah berlaku dan jangan dikenang lagi kerana nasi sudah menjadi bubur.

Jika kita mahu melihat Speedy Tigers kembali ke pentas Olimpik, segala kerja harus bermula daripada sekarang dengan fokus melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Adam Fazery adalah pembaca FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.