Pelakon Remy Ishak yang mendakwa menjadi mangsa ilmu hitam mengaku dia perlu kuat melawan dugaan sedang menimpa dirinya ketika ini.

Kata aktor itu, biar apa pun situasi yang terpaksa dihadapi, dia tidak wajar menuding kesalahan itu kepada orang lain.

“Saya kena kuat melawan ujian ini. Apa juga yang terjadi, saya perlu lihat kembali dalam diri kerana mungkin saya juga ada melakukan kesilapan.

“Tidak sewajarnya saya menuding jari kepada orang lain apabila berdepan dugaan dalam hidup,” katanya dipetik BH Online.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjuangannya bagi melawan gangguan berkenaan.

Kata Remy, 37, dia masih dalam fasa berubat, justeru perlu menguatkan mental serta fizikalnya untuk berdepan perkara itu.

“Mungkin saya nampak seperti tiada apa-apa, namun ia sebenarnya mengambil masa untuk pulih,” katanya.

Menurut pelakon filem Sangkar itu, pada awalnya dia buntu kerana tidak memahami apa situasi sebenar yang sedang menimpa dirinya sehinggalah mendapatkan rawatan dengan seorang ustaz.

“Sangkakan saya mengalami depresi, tapi apabila bersendirian, terutama selepas Subuh dan Asar, saya tiba-tiba menjadi lemah,” kata pelakon itu.

“Saya mencuba pelbagai kaedah rawatan moden dan alternatif, namun selepas bertemu dengan seorang ustaz, baru saya tahu terkena ilmu hitam,” kata pelakon filem Sangkar itu.

Pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu berkata, dia percaya perlu sentiasa beristiqamah dan yakin setiap dugaan dilalui pasti ada jalan penyelesaian.

“Saya perlu istiqamah dan sentiasa yakin, tiada siapa yang mampu melawan kuasa Allah. Saya tidak mahu mengalah kerana percaya, setiap apa juga dugaan yang dilalui, pasti ada jalan penyelesaian,” katanya.

Pertengahan bulan lalu, Remy membuat pengakuan melalui Instagram miliknya bahawa dia sering melakukan perkara bukan atas kehendaknya.

Selain itu dia juga mudah naik angin dan berfikiran negatif hingga takut keluar dari rumah.

Perubahan itu disedari keluarga dan mereka menasihatkan Remy supaya bertemu pengamal perubatan Islam, selain cuba mendapatkan rawatan moden.