KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin industri kreatif negara ini mampu memberi sumbangan positif terhadap Keluaran Negara Kasar (KNK) Malaysia.

Beliau berkata, industri kreatif boleh memberi keuntungan kepada negara sekiranya karya seni yang berkualiti dapat dihasilkan untuk tujuan eksport.

Menurutnya, kini industri tersebut merupakan sektor yang sedang berkembang maju di Malaysia apabila kandungan industri kreatif seperti filem, drama dan animasi yang berkualiti mampu menjadi eksport yang menguntungkan.

“Sehingga 31 Mac 2019, terdapat 345 syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi daripada jumlah keseluruhan 2,986 syarikat berstatus MSC Malaysia yang aktif.

“Pada tahun 2018, syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster ini telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7.69 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM1.40 bilion dan telah menyediakan sebanyak 11,471 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke-15 di sini hari ini.

Katanya, pelajar dalam bidang seni dan budaya mampu memberi sumbangan dalam industri kreatif yang sedang berkembang pesat kini.

“Dengan wujudnya pelbagai fakulti di Aswara, saya percaya Aswara boleh menyediakan kandungan serta produk industri kreatif yang lebih berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Aswara mempunyai tugas penting memastikan ini dicapai kerana ia salah satu institusi yang mendidik golongan muda untuk kenal seni, budaya dan warisan bangsa,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, seni dan budaya menjadi manifestasi tamadun sesuatu bangsa dan Negara bangsa justeru Malaysia tidak boleh kehilangan identitinya yang dibentuk menerusi kepelbagaian kebudayaan dan keseniannya.

“Kemajuan fizikal dan material perlu diimbangi dengan kemajuan kesenian dan kebudayaan demi memperkukuh tamadun bangsa,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena Istiadat Konvokesyen Aswara.

Dr Mahathir menerima Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) manakala Siti Hasmah menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Promosi Seni Kreatif).

Penganugerahan itu disampaikan oleh Rektor Aswara Prof Madya Sahar Sa’ di Hashim itu sebagai penghargaan dan penghormatan tinggi terhadap Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah di atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membangun serta melestarikan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Istiadat konvokesyen itu menyaksikan 171 graduan daripada tujuh fakulti menerima Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dan Diploma manakala lima graduan daripada Pusat Pengajian Pasca Siswazah menerima Ijazah Sarjana Seni Kreatif dan Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif.

Aswara terdiri daripada Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, Penulisan Kreatif dan Filem, Tari, Teater, Muzik, Animasi dan Multimedia dan Rekaan Komunikasi Visual.

Aswara telah beroperasi selama 25 tahun merupakan institusi pengajian tinggi khusus dalam bidang seni yang menawarkan 28 program akademik di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Doktor Falsafah.