JOHOR BAHRU – Hospital Columbia Asia-Iskandar Puteri menerima anugerah Penjagaan Kesihatan Terbaik (Hospital Swasta) anjuran The BrandLaureate di Singapura pada Khamis lalu.

Pengurus Besarnya, Rahani Yaacob berkata, penghargaan yang diterima adalah bukti kejayaan titik peluh semua pihak dalam menyediakan perkhidmatan terbaik.

“Ini satu penghormatan kepada kami untuk menerima pengiktirafan ini.

“Menerima anugerah yang sangat berprestij ini sebagai bukti kejayaan serta jenama kami melalui kerja keras juga dedikasi semua pihak dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Rahani berkata, pengiktirafan itu memberi motivasi kepada seluruh warga Hospital Columbia Asia-Iskandar Puteri untuk meneruskan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik.

“Saya dedikasikan anugerah ini kepada pesakit, konsultan perubatan, pengurusan, semua kakitangan dan klien korporat kami atas peranan yang dimainkan dalam kejayaan ini.

“Tahun depan Hospital Columbia Asia-Iskandar Puteri akan sambut ulang tahun ke-10, jadi kemenangan ini bermaksud kita perlu terus bekerja keras menyediakan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengesahkan Hospital Columbia Asia di Tebrau akan dilancarkan hujung tahun ini yang bakal menjadi fasiliti terbesar jenama itu di Malaysia.