KOTA BHARU – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan kekal diterajui Hazmi Hassan, 32, bagi penggal 2019 hingga 2022.

Pemilihan semula hari ini menyaksikan Hazmi mendapat undian tertinggi bagi jawatan tersebut, setelah pemilihan Ogos lalu dibatalkan disebabkan masalah teknikal.

Hazmi berkata, beliau bersyukur kerana masih lagi diberikan kepercayaan untuk terus mengemudi barisan pemuda dan mencorak idealis antara kumpulan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Saya memikul tanggungjawab besar dan mengharapkan sokongan semua pihak untuk kita terus diterima dan berkhidmat kepada rakyat dengan acuan terbaik daripada kita sendiri.

“Saya juga yakin dengan gabungan idea dua orang doktor, dua pegawai dari kementerian dan agensi termasuk profesional bidang kejuruteraan serta aktivis, kami dapat menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebahagian ahli yang hadir bergambar sebelum bersurai pada pemilihan hari ini.

Sebahagian ahli yang hadir bergambar sebelum bersurai pada pemilihan hari ini.

Pemilihan hari ini diadakan di Dewan Kraftangan Bunut Payong dihadiri kira-kira 90 ahli termasuk perwakilan.

Mengulas lanjut, Hazmi berkata, gabungan muka baharu dan lama itu dalam kepimpinan Pemuda Amanah Kelantan diharap dapat memperjuangkan isu-isu rakyat dan memberi keadilan sewajarnya.

“Kita tidak mahu dilihat dilihat sebagai sebuah parti anak muda yang berpeluk tubuh tetapi apa yang kita nak, mereka ‘orang luar’ menghormati dan bersama-sama kita memperjuangkan nasib rakyat di Kelantan,” katanya.

Pada pemilihan hari ini, Dr Sayodi Che Husin dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda baharu manakala Shahidulamri kekal sebagai setiausaha.