Harta yang ditinggalkan oleh arwah Abam perlu diuruskan dengan berhati-hati untuk mengelakkan mana-mana pihak daripada termakan hak anak yatim.

Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, justeru, waris Abam wajar berjumpa peguam syarie dan mendapatkan pandangan berhubung harta yang ditinggalkan pelawak terbabit.

“Jumpa peguam syariah yang boleh membantu berhubung bahagian faraid. Untuk lebih selamat, lebih baik ada hitam dan putih.

“Buatlah syarat tertentu misalnya supaya dia (adik-beradik arwah) tak guna harta dan hanya membantu menguruskannya saja.

“Untuk jaga harta anak yatim ni kenalah hati-hati, takut nanti termakan yang bukan hak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wan Salim diminta mengulas demikian berhubung kemelut sedang menghimpit Ali Puteh dan kakak iparnya, Nor Hidayah Mohd Ali.

Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, meninggal dunia di kediamannya di Gombak – dipercayai akibat demam panas – pada 10 Februari lalu.

Selain Nor Hidayah, Abam turut meninggalkan seorang bayi lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia sembilan bulan.

Wan Salim berkata, disebabkan Syed Uthman belum cukup umur, wajar dilantik seseorang untuk menguruskan harta sehingga dia matang.

“Lantik seseorang untuk urus jaga harta itu sampai anak arwah cukup umur, kemudian baru diserahkan kepada dia.

“Dalam Islam, tak dibenarkan harta terus diserahkan pada yang bawah umur, nanti salah guna,” katanya.

Kontroversi mula dihidu media apabila Ali memuat naik kenyataan lantang merujuk kepada Nor Hidayah selepas menonton rancangan temu bual antara kakak iparnya itu dengan usahawan kosmetik Aliff Syukri.

Dalam sesi itu, Nor Hidayah antaranya mendedahkan dia berdepan kesukaran apabila dirinya tidak berharta selain tiada kenderaan untuk membawa anaknya yang sedang demam ke klinik.

Dakwanya pada waktu itu dia ingin memandu kereta ditinggalkan arwah, tetapi keluarga Ali enggan menyerahkan kunci kereta kepadanya.

Pendedahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila ada antara mereka yang beranggapan nasib balu dan anak arwah Abam tidak terbela.

Bagaimanapun, Ali dalam satu sidang media menafikan sekeras-kerasnya setiap dakwaan yang dilemparkan sama ada daripada Nor Hidayah mahupun warganet.

Mengulas perkara tersebut, Wan Salim berkata, tidak guna menuduh sembarangan sebaliknya, kedua-dua pihak perlu berkompromi dan mengadakan perbincangan secara menyeluruh agar dapat menyelesaikan konflik yang timbul.

“Kita tak boleh tuduh tak tentu pasal sebab tak tahu niat sebenar si adik ni,” katanya.

Sementara itu, mengulas hukum seorang balu keluar rumah ketika belum habis tempoh idah – iaitu selama empat bulan 10 hari – Wan Salim berkata, ia bergantung kepada keperluan seseorang wanita itu.

“Jika terpaksa, ia dibolehkan bagi menyelesaikan keperluan tersebut. Contoh dia nak cari duit atau bekalan makanan anak dia, maka dibolehkan. Tapi untuk itu saja.

“Jika dia keluar rumah dari rumah mak mentua pula, si balu tadi wajarlah minta izin terlebih dahulu, isu ini boleh dibawa berunding,” katanya.