Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, sebagai perdana menteri berpengalaman Dr Mahathir pasti mengenali calon paling layak untuk menggantikan beliau.

PETALING JAYA: Presiden Pas Abdul Hadi Awang mengingatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya memilih calon paling layak untuk menggantikan tempatnya.

Beliau berkata, sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam pemerintahan negara, Mahathir sudah pasti mengenali pengganti yang sesuai untuk meneruskan tampuk pemerintahan negara.

“PAS tetap menjadi pembangkang yang menasihat dan memberi perhatian kepada calon bakal perdana menteri.

“Mahathir sebagai perdana menteri yang mempunyai pengalaman memerintah, pastinya sangat mengenali calon yang layak dalam kalangan muridnya yang telah dilatih.

“Maka hendaklah dipilih yang berjaya dalam ujian. Jangan memilih calon yang gagal, membawa ijazah palsu atau suka meniru untuk mendapatkan jawapan,” katanya dalam catatan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Kelmarin, Mahathir mengulangi komitmennya untuk meletakkan jawatan sebelum tamat penggal lima tahun sambil menegaskan tidak akan mengulangi kesilapan dalam melantik pengganti.

Mengambil senario krisis ekonomi pada 1977, Hadi memuji kebijaksanaan Mahathir menyelesaikan kemelut tersebut dengan menggunakan sumber dalam negara dan kepakaran sendiri, berbeza dengan Anwar yang dikatakan bersetuju dengan pakej bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Beliau berkata, tindakan itu sesuatu yang sangat membanggakan kerana Mahathir tidak bergantung kepada IMF yang boleh mengundang penjajahan ekonomi, belenggu hutang dan campur tangan asing dalam negara.

“Walaupun PAS parti pembangkang yang dibelasah sehingga berlawan dengan sekeras-kerasnya, tetapi menyedari bahawa kita berada dalam satu tanah air laksana satu bahtera yang tenggelam timbulnya tetap bersama, maka tetap mengakui apa yang sebenar dipikul bersama.

“PAS ketika itu turut memberikan pandangan untuk membaiki ekonomi negara, dengan menyeru peniaga dan rakyat untuk terus bertahan, berbelanja dengan cermat, mengurangkan hutang dan menyimpan untuk kecemasan,” katanya.

“Begitulah mahalnya erti kemerdekaan dan maruah, bukannya menjadi barua kepada sesiapa sahaja. Mempertahankan maruah sangat besar maknanya.

“Pengalaman Malaysia menangani krisis kewangan 1997 adalah ujian untuk menilai siapa yang berani mempertahankan maruah negara dan umat, berbanding mereka yang mudah menyerah kalah kepada pihak luar,” katanya.

Menurut perjanjian dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH), Anwar dipersetujui akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri walaupun tarikhnya tidak ditetapkan.