TERLIBAT dalam pembikinan drama bersiri bertajuk Suri Katriana memainkan peranan sebagai Suri, penyanyi Ernie Zakri mengakui pernah dihimpit sesalan.

Dia tidak menyangka tanggungjawab melakonkan watak tersebut agak berat.

Sangka pelantun lagu Ku Bersuara itu, watak Suri mudah untuk dipersembahkan, namun dia silap besar.

Mujurlah, pelakon senior terlibat seperti Hasnul Rahmat dan Zul Huzaimy tidak pernah lokek memberi sokongan serta tunjuk ajar, menjadikan setiap pengalaman yang diraih sebagai pengajaran berguna buatnya.

Dalam perkembangan lain, Erni atau nam sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, itu teruja bercerita tentang konsert Karya Agung Pak Ngah Bersama Orkestra Tradisional Malaysia & Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 14 dan 15 Oktober ini di Istana Budaya.

Kosmo!: Boleh Ernie boleh perincikan tentang penglibatan dalam konsert Karya Agung Pak Ngah Bersama Orkestra Tradisional Malaysia & Datuk Seri Siti Nurhaliza?

Ernie Zakri: Saya memang membesar dengan lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah namun saya tidak pernah ada kesempatan untuk bekerja dengannya ketika beliau masih hidup.

Semestinya saya teruja terlibat dalam konsert ini. Konsert ini bukan sekadar menyanyi, saya juga kena berlakon. Insya-Allah, saya akan menyampaikan tiga buah lagu duet bersama Syamel dan sebuah lagu bersama Asmidar.

Dalam senarai karya ciptaan Pak Ngah, lagu mana yang menjadi kegemaran anda?

Lagu seperti Hati Kama dan Cindai. Boleh dikatakan, kalau pergi karaoke, itulah lagu wajib yang akan dinyanyikan.

Sebenarnya, saya sudah dapat bayangkan kemeriahan yang akan berlaku di atas pentas konsert nanti. Dahulu, saya juga pernah membuat persembahan dengan Orkestra Tradisional Malaysia. Jadi, apabila kembali terlibat untuk konsert ini, perasaannya macam dapat jumpa semula dengan keluarga lama.

Baiklah, boleh ceritakan pengalaman berlakon buat kali pertama dalam drama Suri Katriana?

Mulanya saya sangat teruja untuk mencuba. Lagipun, saya difahamkan hanya terbabit untuk sembilan episod. Tidak sangka pula watak Suri amat berat dan benar-benar mencabar kemampuan.

Saya perlu melakonkan watak wanita psiko, pelakon lain yang membintangi drama ini juga hebat-hebat. Bayangkan, saya bergandingan dengan Ummi Nazeera, Hasnul Rahmat dan Zul Huzaimy. Jadual penggambaran juga memakan masa lama iaitu sebulan.

Bagaimana rasanya bekerja dengan pelakon-pelakon hebat dalam drama tersebut?

Alhamdulillah, walau saya baru hendak belajar berlakon, mereka tidak pernah memperkecilkan usaha saya.

Mereka banyak membantu saya menghayati watak berkenaan. Apabila mula menyesuaikan diri, barulah saya rasa yakin untuk terus berlakon.

Adakah anda serik untuk menerima tawaran berlakon selepas ini disebabkan projek drama tersebut?

Jauh dalam sudut hati, saya agak menyesal terima tawaran berlakon drama ini kerana pada mulanya, saya dengar watak Suri hanya perlu menyanyi dan menari.

Saya fikir macam ‘kacang’ sahaja namun lain pula jadinya.

Apa pun, siapa saya untuk menolak rezeki. Mana tahu jika selepas ini ada tawaran berlakon yang bersesuaian, saya akan mempertimbangkannya.

Bagaimanapun, peluang terlibat dalam drama ini sangat memberi manfaat kepada saya sebagai seorang anak seni.