MANCHESTER: Marcus Rashford ‘merosakkan’ kepulangan semula Jose Mourinho ke Old Trafford apabila meledak dua gol ketika Manchester United menewaskan Tottenham Hotspur 2-1, awal pagi tadi.

Kekalahan itu turut mengakhiri permulaan sempurna bekas pengurus United itu bersama kelab baharunya, Spurs.

Penyerang England, Rashford meletakkan United di depan seawal minit keenam sebelum mengembalikan semula kelebihan tuan rumah menerusi penalti pada awal babak kedua selepas Dele Alli menyamakan kedudukan buat pelawat, tiga minit sebelum rehat.

JOSE Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer pada perlawanan Liga Perdana. – Foto Reuters

Keputusan menyaksikan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer mengatasi kedudukan Spurs di carta Liga Perdana dan mendaki ke tangga keenam.

Spurs menuju perlawanan bertemu United dengan keyakinan tinggi susulan kebangkitan yang ditampilkan kelab itu di bawah kendalian Mourinho yang menggantikan Mauricio Pochettino, bulan lalu.

Begitupun, United yang bergelut selepas mengharungi permulaan terburuk semusim sejak 31 tahun bermain dengan penuh tenaga yang menyaksikan Solskjaer tidak dapat menahan diri daripada memuji skuad kendaliannya.

“Tiga mata ini amat besar maknanya buat kami,” kata Solskjaer. “Kami memperoleh banyak keputusan seri musim ini dan mensia-siakan banyak mata apabila tidak meraih kemenangan.

“Dua perlawanan terakhir (Sheffield United dan Aston Villa) adalah pembelajaran yang baik dan tindak balas kami hebat. Kami mula membina. 

“Kami membuat keputusan yang kami perlu lakukan dan kami bersedia untuk menjadikan kelab ini lebih baik dan saya tidak boleh berfikir untuk jangka pendek apabila saya cuba melakukannya.” – AFP