Pelakon dan pengacara Rozita Che Wan enggan melatah apabila penampilannya mengenakan gaun berwarna kuning disamakan seperti Big Bird, karakter popular dalam rancangan kanak-kanak Sesame Street.

Lebih lucu, gaun itu yang dipakainya ketika menghadiri Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) dua hari lalu turut diumpamakan seperti pulut kuning bertingkat.

Menurut Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta, dia memang memahami sikap warganet yang “mudah terhibur” dengan perkara seperti itu.

“Saya tidak kisah dan tak ambil serius pun dengan perkara itu. Sekali pandang, memang ia kelihatan serupa, tetapi tetap tak sama.

“Sebaliknya saya menganggapnya sebagai sesuatu yang lucu. Sebaliknya saya menganggapnya sebagai sesuatu yang lucu. Saya yakin ramai juga yang terhibur dengan kegigihan mereka menggabungkan gambar saya dan (karakter) burung itu dalam kolaj,” katanya seperti dipetik BH Online.

Imej pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu menjadi tular di media sosial tidak lama selepas kemunculannya sebagai penyampai pada acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Di sebalik reaksi daripada warganet, dia berkata amat menghargai karya pereka fesyen Zaimi Zulkafli itu kerana berjaya menghasilkan rekaan yang menarik.

“Bukan mudah untuk menghasilkan gaun yang unik dan cantik,” katanya.