KUALA LUMPUR – Pengguna ShopBack kini boleh memperoleh pulangan tunai melalui rakan kongsi terbaru platform pulangan tunai dalam talian tersebut iaitu Touch ‘n Go (TnG) eWallet.

Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Eddy Han berkata, ShopBack Malaysia juga akan menawarkan satu siri tawaran pulangan tunai yang tiada tandingan iaitu sehingga 30 peratus dan hadiah bernilai lebih RM100,000 untuk dimenangi bermula 4 hingga 11 November ini.

Menurutnya, Lazada turut menyediakan pulangan tunai dua kali pada waktu tertentu 11 November ini menerusi aplikasi ShopBack Malaysia sebagai ganjaran istimewa kepada penyokongnya.

“Sejak dilancarkan pada 2016, ShopBack Malaysia membolehkan lebih 1.5 juta pembeli dalam talian memperoleh penjimatan tambahan daripada pembelian dalam talian mereka untuk pelbagai kategori seperti perjalanan, elektronik, rumah dan kehidupan, sukan, fesyen dan kecantikan, makanan serta gaya hidup.

“Selain itu, pembeli dapat menikmati tawaran terbaik, mendapatkan kod baucar eksklusif dan akses kepada promosi serta hadiah. Di luar Malaysia, ShopBack kini beroperasi di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Taiwan, dan Australia,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Eddy berkata, pihaknya gembira kerana TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) menyertai ShopBack sebagai rakan eWallet pertamanya dan pembeli bukan hanya diberikan insentif, malah mendapat ganjaran apabila mendaftar serta menambah nilai TnG eWallet.

Katanya, usahasama itu memberikan peluang berterusan kepada ShopBack Malaysia untuk terus meneroka dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital di negara ini.

“Kami mahu terus menawarkan ganjaran terbaik dan mewujudkan peluang pembelian digital yang lebih bijak kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, sempena tawaran 11.11 pada 11 November ini, ShopBack Malaysia menawarkan ‘Daily 2-hour Epic Cashback’ dan sehingga 30 peratus pulangan tunai.

Selain itu katanya, permainan dalam aplikasi baharu, ‘Cashback Troopers’ akan tersedia di aplikasi ShopBack bermula 4 November ini.

“Pemain dikehendaki menyambung tiga atau lebih ikon untuk mendapat berlian yang akan membolehkan mereka menebus ganjaran seperti baucar diskaun serta bungkusan percuma yang ditaja oleh Lazada, Lenovo, Photobook Malaysia, Senheng, Sephora, Shopee, Under Armour, Watsons dan Zalora.

“Mereka juga boleh menebus tiket cabutan bertuah mega yang akan membolehkan mereka memenangi hadiah menarik termasuk baucar Sephora RM2,500, baucar Senheng RM5,000, produk Dyson bernilai RM8,000 dan hadiah utama berupa baucar perjalanan Agoda bernilai RM12,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Ignatius Ong berkata, menerusi kerjasama itu, jutaan pembeli atas talian akan mendapat manfaat.

Menurutnya, pengguna baharu TnG eWallet yang mendaftar dan menambah nilai melalui aplikasi ShopBack akan menerima pulangan tunai sebanyak RM9, manakala pengguna sedia ada yang menambah nilai eWallet mereka setiap bulan akan mendapat rebat tunai RM3 untuk sekali.

ShopBack Malaysia adalah yang pertama dalam kalangan negara Asia Pasifik (APAC) melancarkan eWallet sebagai kategori pulangan tunai baharu dan TnG eWallet tersedia di aplikasi ShopBack mulai hari ini.

Untuk maklumat lanjut, muat turun aplikasi ShopBack atau layari laman web ShopBack Malaysia https://www.shopback.my/.