SELEPAS mengejutkan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand kini sedang dalam persiapan mengekalkan rekod tanpa kalah, dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, apabila bertemu skuad Harimau Malaya pada 14 November ini.

Ketua jurulatih skuad Gajah Perang, Akira Nishino telah memanggil beberapa pemain utama seperti perancang tengah, Chanathip Songkrasin yang bermain bersama kelab Hokkaido Consadole Sapporo di liga utama Jepun (J1) dan pemain pertahanan kelahiran Perancis, Tristan Do yang terlepas aksi terdahulu, kerana kecederaan.

Pengendali dari Jepun itu juga telah memanggil pemain berpengalaman seperti penyerang, Thitiphan Puangjan, penjaga gol Kawin Thamsatchanan yang bermain untuk kelab OH Leuven di Belgium dan Sarach Yooyen bagi memantapkan pasukan menjelang aksi menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Vietnam di Hanoi lima hari kemudian.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kekal positif dan yakin anak-anak buahnya mampu melakarkan kejutan untuk mengekang pasukan yang menduduki ranking ke-109 dunia itu.

“Saya rasa semua jurulatih memandang serius kempen kelayakan ini dengan pendekatan mereka untuk mengumpul mata. Kemasukan Chanathip dan Thitiphan yang cedera serta pemain senior yang berpengalaman luas, menambah kekuatan mereka.

“Tetapi persediaan kita juga cukup rapi dan pemain pun dah habis musim Liga Malaysia, saya harap mereka dapat fokus dalam dua perlawanan terakhir bagi tahun ini, untuk lakar keputusan positif.

“Mereka pun sudah pasti mahu kemenangan untuk mencapai sasaran kita,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau turut harap kelebihan beraksi di laman sendiri juga akan membantu pasukan Malaysia yang menghuni ranking ke-158 dunia, menyekat hasrat Thailand untuk mengekalkan rekod bersih dalam kempen itu.

Selepas tiga aksi pusingan kedua kempen kelayakan itu, Thailand berada di kedudukan teratas Kumpulan G walaupun berkongsi tujuh mata dengan Vietnam manakala Malaysia berada di tempat keempat dengan tiga mata.

Mengikut rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan sejak 1959, Malaysia pernah melakar kemenangan sebanyak 40 kali, tewas 35 kali dan seri 35 kali.

Sebelum bertemu Thailand, skuad Harimau Malaya akan berhadapan Tajikistan dalam aksi persahabatan pada Jumaat ini, diikuti aksi kelayakan menentang Indonesia pada 19 November di venue yang sama.

Cheng Hoe berkata, beliau tidak akan membuat perubahan besar dalam kesebelasan utama menentang Tajikistan selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Maldives dalam aksi pemanas badan semalam.

“Itu hanya aksi latihan, saya memberikan peluang kepada pemain-pemain yang tidak beraksi dalam separuh akhir dan final Piala Malaysia supaya mereka dapat merasai prestasi perlawanan dan tekanan perlawanan bagi menguji keserasian dan kombinasi pasukan,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar yang kembali dipanggil menyarung jersi kebangsaan selepas hampir dua tahun, bertekad untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan, dengan mempamerkan aksi terbaiknya.

“Dengan panggilan kali ini, saya nak beri yang terbaik untuk meraih keputusan positif kepada pasukan. Bagi saya, bergandingan dengan sesiapa pun tiada masalah, kerana mana-mana pemain yang diturunkan akan beri 100 peratus,” katanya.

Walaupun kali pertama mendapat panggilan ke skuad kebangsaan di bawah kendalian Cheng Hoe, pemain berusia 31 tahun itu yang pernah bermain di bawah jurulatih itu di Kedah yakin dapat memahami taktikal Cheng Hoe dengan cepat. – Bernama