SHAH ALAM – Cadangan membenarkan penanaman hem iaitu tumbuhan dari spesies ganja bagi tujuan penyelidikan industri wajar diteruskan kerana mampu meningkatkan kualiti industri makanan dan tekstil di negara ini.

Dekan Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Prof Dr Abdul Shukor Juraimi berkata, cadangan tersebut tepat pada waktunya kerana Malaysia kini sudah ketinggalan melaksanakan kajian tersebut berbanding negara lain khususnya di Thailand.

Menurutnya, perlaksanaan cadangan itu perlu selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang baik termasuk kaedah pemantauan keselamatan bagi memastikan tidak wujud salah guna bahan itu.

“Jika hem dimakan terus, ia tidak akan menyebabkan khayal. Ia juga bukan untuk perubatan. Kandungan bahan aktif yang boleh menyebabkan khayal sangat rendah melainkan dicampur dengan bahan lain.

“Penanaman Hem ini wajar untuk kebaikan kerana dari segi nilai nutrisi minyak memang tinggi kandungan Omega 3 dan protein sehingga 31 peratus serta boleh digunakan dalam industri makanan.

“Kegunaan yang lain, ia boleh digunakan untuk buat fiber tekstil. Jadi kajian yang hendak dibuat itu lebih kepada untuk nilai nutrisi dalam industri makanan dan sebagai bio produk untuk industri tekstil,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung cadangan kerajaan yang akan membenarkan penanaman hem bagi tujuan penyelidikan industri tertakluk mengikut Seksyen 6B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dr Abdul Shukor berkata, kajian perlu sentiasa dilakukan bagi mengenal pasti sumber yang lebih berkualiti tinggi untuk kegunaan industri berkaitan.

Katanya, penanaman boleh dibuat secara terkawal dengan melibatkan universiti tempatan seperti yang dilakukan t di Thailand melibatkan penanaman ganja untuk tujuan perubatan.

“Kita mahu petani kita ada sumber pendapatan yang agak tinggi berbanding sekarang kerana menggunakan sumber yang bermutu tinggi. Perlu ada alternatif kerana tanaman sedia ada juga kadang- kala bermasalah,”katanya.

Justeru pihaknya mengalu-alukan cadangan berkenaan dan UPM sendiri bersedia untuk turut terlibat dalam kajian berkenaan.