KUALA LUMPUR: Pemandu Mercedes AMG PETRONAS, Valtteri Bottas mengakui mahu mencabar kejuaraan Formula Satu (F1) musim depan.

Bagaimanapun pelumba Finland itu sedar ia bukan perkara muda kerana bakal mendapat saingan sengit daripada pemandu lain terutama juara dunia yang juga rakan sepasukan, Lewis Hamilton.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Syed M Tahir (kanan) bersama pemandu Mercedes AMG PETRONAS, Valtteri Bottas di Kedai Mesra Petronas, Jalan Kolam Air, Ampang. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

“Musim ini dikatakan musim terbaik buat saya namun saya sentiasa mencari yang terbaik. Buat masa ini saya hanya mahu meraikan kemenangan musim ini dan terima kasih kepada kerjasama berpasukan,” katanya pada Majlis Meraikan Kejuaraan F1 Kali Keenam di KLCC yang turut dihadiri Hamilton.

Ditanya sama ada dia memasang impian untuk meraih kedudukan pertama dalam perlumbaan F1 musim depan, Bottas berkata ia sentiasa menjadi impiannya.

“Itu antara perkara utama saya sasarkan tahun depan, saya perlu mencari jalan melakukannya. Untuk 2020 tiada perubahan besar dalam F1 dan sudah tentu Lewis adalah pelumba yang sukar untuk ditewaskan,” kata Bottas. 

Bottas yang berada di Kuala Lumpur hari ini turut meluangkan masa dalam Majlis Bertemu Peminat di Stesen Minyak PETRONAS, Jalan Kolam Ayer Lama, Ampang.

Sebagai rekod, dalam perlumbaan penutup tirai di Grand Prix (GP) Abu Dhabi, Ahad lalu, Bottas yang terpaksa memulakan perlumbaan di petak terakhir selepas menggunakan enjin baharu menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat di depan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dan Alex Albon (Red Bull).

Pelumba Mercedes AMG PETRONAS, Valtteri Bottas beramah mesra bersama pengunjung di Kedai Mesra Petronas, Jalan Kolam Air, Ampang. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Hamilton pula membuktikan kejaguhannya apabila merangkul kemenangan ke-84  F1 dalalm kariernya dan ke-11 daripada 21 perlumbaan musim ini apabila menjuarai GP Abu Dhabi.

Secara keseluruhan, Bottas menamatkan saingan F1 musim ini di kedudukan kedua dengan kutipan 326 mata di belakang Hamilton.

Menerusi kalendar perlumbaan musim ini, Bottas menjuarai perlumbaan di Australia, Azerbaijan, Jepun dan Amerika Syarikat.