KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pelantikan sembilan ulama dan pengamal Syariah terkemuka sebagai ahli Majlis Penasihat Syariahnya (MPS) bagi tempoh 1 November 2019 hingga 31 Oktober 2022.

Dalam kenyataan hari ini, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Seksyen 53 (1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Ahli-ahli itu ialah Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Shariah International Consulting Sdn Bhd, Prof Dr Ashraf Md Hashim dan Pengarah Akademi Penyelidikan Shariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Prof Dr Mohamad Akram Laldin.

Tujuh ahli lain ialah Profesor di Institut Perbankan Islam dan Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Datuk A Aziz A Rahim, Ketua Unit Takaful ISRA, Burhanuddin Lukman; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Ketua Pejabat Kawalan Mutu Penyelidikan ISRA, Dr Marjan Muhammad serta pengasas dan Rakan Kongsi Zainal Abidin&Co, Zainal Abidin Jamal.

“MPS adalah pihak berkuasa tertinggi bagi penentuan syariah berhubung perniagaan perbankan Islam, perniagaan takaful dan perniagaan pembiayaan pembangunan Islam yang dijalankan oleh institusi kewangan yang diselia oleh bank.

“Ia memainkan peranan penting dalam memelihara kesucian syariah dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam,” menurut bank pusat itu.

MPS juga berfungsi untuk menasihati bank pusat mengenai sebarang isu syariah berkaitan perniagaan, aktiviti atau transaksi kewangan Islam yang dilakukan oleh bank.

“Sebagai pihak berkuasa tertinggi, keputusan MPS berfungsi sebagai rujukan kepada institusi kewangan Islam dalam memastikan semua perniagaan dan aktiviti, produk kewangan dan perkhidmatan mematuhi prinsip syariah,” katanya, sambil menambah keputusan mereka juga boleh digunakan sebagai rujukan oleh mahkamah dan penimbang tara dalam membantah pertikaian atau kes. – Bernama