Kad laporan menunjukkan lebih RM18 juta disalurkan untuk pembangunan prasarana dan projek komuniti pada 2019.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kad laporan prestasi bekas ahli Parlimen Tanjung Piai, Dr Md Farid Md Rafik bagi menangani dakwaan banyak janji-janji pilihan raya tidak ditunaikan, lebih setahun selepas pilihan raya umum ke-14.

Kad laporan menunjukkan lebih RM18 juta disalurkan untuk pembangunan prasarana dan projek komuniti pada 2019, sementara lebih RM1 juta dibelanjakan untuk tujuan sama pada tahun sebelumnya.

Kebanyakan dana digunakan untuk membangunkan prasarana, dengan lebih RM14 juta dibelanjakan pada 2019 untuk membina dewan-dewan serbaguna, membina semula jeti nelayan, dan menaik taraf padang permainan.

Selebihnya digunakan untuk membangunkan dan membaikpulih kemudahan awam seperti tandas, dewan, dan jambatan.

Dana juga disalurkan kepada sekolah-sekolah, tadika-tadika, sekolah-sekolah agama, balai polis, balai bomba dan kampung-kampung.

Bantuan turut diberi kepada persatuan penduduk dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Terdahulu, FMT melaporkan sungutan beberapa penduduk Tanjung Piai mengatakan tiada apa-apa perubahan sejak PH menang pilihan raya.

Mereka berkata kerajaan gagal mengurangkan kos sara hidup, manakala harga petrol juga tidak turun.

Seorang penduduk tidak gembira dengan penangguhan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama, dan menambah bukan dia seorang sahaja yang tidak berpuas hati dengan isu pendidikan melibatkan komuniti Cina.

Sumber daripada PH memberitahu FMT bahawa Farid sering turun padang untuk melawat kawasan dan mengikuti isu-isu yang dihadapi rakyat.

Beliau juga berkata masalah yang ditonjolkan oleh penduduk adalah isu pendapatan yang biasa dan dialami rakyat di seluruh negara.

Kerusi Tanjung Piai kosong selepas Farid meninggal dunia pad 21 Sept.

Pilihan raya kecil pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan Karmaine Sardini dari PH, Wee Jeck Seng (BN), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta calon bebas Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock.