Selepas bertemu dan berbincang, akhirnya dipersetujui Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, kekal merasmikan kongres Pemuda dan Wanita PKR di Melaka esok, manakala Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menutupnya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata hal itu antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat khas biro politik parti itu dengan Anwar Ibrahim petang tadi.

Antara yang hadir ialah Azmin, Naib Presiden PRK, Zuraida Kamaruddin, Abdul Rashid Hasnon, R Sivarasa, Elizabeth Wong dan Amirudin Shari.

Mesyuarat itu dipengerusikan sendiri oleh Anwar selaku presiden PKR.

Menurut Fahmi melalui perbincangan itu dipersetujui bahawa Azmin akan merasmikan kongres sayap PKR manakala penutupnya dibuat pada sebelah petang.

“Semua pimpinan akan hadir kecuali yang ada urusan rasmi di luar,” katanya kepada media di bangunan parlimen hari ini.

Kehadiran Azmin dalam mesyuarat Biro Politik PKR petang tadi adalah yang pertama untuk menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk tempoh lebih setahun.

Isu perasmian Pemuda dan Wanita PKR baru-baru ini menampakkan lagi parahnya keretakan dalam hubungan dua kumpulan bertentangan dalam parti itu sehingga membawa kepada pemecatan beberapa pemimpin.

Semua beri komitmen hadir

Sebelum ini parti itu menetapkan Wan Azizah akan merasmikan kongres Pemuda PKR, manakala Azmin merasmikan kongres sayap wanita.

Mengikut kelaziman kedua-dua sayap parti akan dirasmikan oleh timbalan presiden.

Kata Fahmi kongres kali ini akan menampakkan kekuatan dan keutuhan PKR.

“Insya-Allah kita akan dapat mendengar pandangan daripada semua pimpinan dan akan dapat melihat hala tuju parti,” katanya.

Fahmi juga mengesahkan kepemimpinan pusat PKR menyatakan komitmen mereka untuk menghadiri kongres parti di Melaka.

Terdahulu sebelum memasuki tempat mesyuarat, Azmin memberitahu media mereka akan membincangkan tentang kedudukan parti dan persiapan esok.

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada kongres di Melaka atau satu lagi himpunan yan didakwa akan diadakan di Kuala Lumpur, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata: “Hanya ada satu kongres”.

Diadakan di Melaka, kongres berkenaan diadakan pada tahun ke-20 penubuhan PKR. Untuk kongres Wanita, ia akan diadakan esok manakala Pemuda sehari kemudian.

[Baca berita penuh]