Pelakon yang pernah mengungguli watak sebagai pelacur menerusi drama bersiri Nur 2, Azar Azmi, dikatakan sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang bapa tunggal di Mesra Abadi 8 Wedding Venue, Keramat, jam 2.30 petang tadi.

Menurut rakan keluarga yang identitinya enggan didedahkan, majlis pertunangan pelakon Isteri Untuk Diiktiraf itu diadakan secara tertutup disaksikan oleh keluarga, rakan-rakan rapat termasuk beberapa rakan artis.

Majlis pertunangan itu disempurnakan dengan upacara menyarungkan cincin ke jari Azar oleh ibu kepada lelaki yang juga merupakan seorang produser filem.

Azar dan bapa kepada dua orang anak itu dijangka bertunang selama setahun dan merancang majlis perkahwinan diadakan pada penghujung tahun depan.

Bijak menyembunyikan kisah percintaan dari pengetahuan umum, bekas peserta Dewi Remaja 2009 itu difahamkan sudah mengenali jejaka berkenaan sejak lima tahun lalu.