JOHOR BAHRU – Ayam Brand, melihat persaingan sengit yang dihadapi di pasaran dengan kemunculan pelbagai jenama lain tidak memberi kesan kepada produknya kerana jaminan kualiti yang ditawarkan kepada pengguna.

Pengurus Pemasaran Ayam Brand, Nathan Deverre berkata, ini kerana kualiti produk sentiasa menjadi tumpuan syarikat bermula daripada aspek pemilihan bahan mentah sehinggalah produk tersebut diproses dan bersedia di tawarkan kepada pelanggan.

“Sebagai contoh, ikan sardin Ayam Brand kaya dengan Omega 3, selain dikilangkan dan ditinkan dengan melalui prosedur yang ketat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, Ayam Brands mengambil inisiatif meneruskan program kempen komuniti sihat, Get Healthy Malaysia, Start Now dalam kalangan kanak-kanak di sekolah dengan menganjurkan program pemakanan sihat.

Program dikenali sebagai Suku-Suku Separuh (3S) menggalakkan pembahagian makanan diatas pinggan melibatkan makanan berasaskan protein, karbohaidrat, buah-buahan dan sayuran.

Bagi negeri Johor, seramai 32 kanak-kanak berusia lapan tahun ke atas di seluruh Johor telah mengambil bahagian dalam program pada tahun ini.

Antara sekolah yang terlibat Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskim Villa Paulos Johor Bahru, Persatuan Kebajikan Mesra Megah Ria, Pertubuhan Kebajikan dan Rumah Anak Yatim Shafar, Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus Convent, SK Taman Daya 2, SK Seri Perling 2 dan SK (P) Sultan Ibrahim.