Presiden PKR Anwar Ibrahim dituduh melakukan ‘salah laku seksual’ oleh bekas kakitangannya, hanya enam bulan selepas parti itu digegarkan skandal video seks yang mengaitkan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Tuduhan terbaru ini dibuat oleh bekas penyelidik Anwar, Muhammad Yusuff Rawther dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Novermber yang tidak dapat disahkan Malaysiakini secara bebas kesahihan dokumen tersebut.

Akuan bersumpah yang didakwa itu dikeluarkan sehari sebelum Kongres Nasional PKR di Melaka esok.

Setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam maklum balasnya mendakwa akuan bersumpah yang dibuat Yusuff didalangi oleh Badrul Hisham Saharin, bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam satu usaha lemah “untuk mencemarkan imej parti oleh seorang bekas ahli yang meroyan kerana tidak diendahkan.”

Yusuff mendedahkan akuan bersumpahnya pada hari ini semasa “sidang akhbar” di lokasi yang tidak diketahui. Terdapat hanya satu mikrofon dan satu peranti rakaman audio di hadapannya.

Halaman Facebook yang baru dibuat dengan rakaman video lapan minit “sidang akhbar” kemudian dikongsi kepada pihak media.

Dalam video itu, Yusuff mengadu laporan polisnya terhadap Farhash sebelum ini yang menuduh Farhash menyerangnya pada 16 Mei di pejabat Anwar di Petaling Jaya, telah diabaikan.

Menurut akuan bersumpah yang dikatakan itu, yang turut disiarkan di laman Facebook, Yusuff mendakwa menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Yusuff mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari kelima kempen PRK Port Dickson. Anwar ketika itu calon PH dan kemudiannya memenangi pilihan raya kecil parlimen itu.

Dalam video itu, Yusuff berkata dia telah memberitahu kepada Badrul Hisham yang mencadangkan bahawa dia merekodkan pengalamannya di dalam dokumen akuan sumpah.

Yusuff juga menggambarkan Anwar sebagai “kenalan keluarganya” dalam video itu.

“Kononnya beliau kawan rapat keluarga, dihormati oleh datuk (saya, bagaimanapun) kejadian yang berlaku antara saya dan beliau bertentangan dengan apa pun yang diperjuangkannya.

“Ia sesuatu yang memalukan. Untuk seorang yang mengetahui kebenaran, ia tidak mudah,” kata Yusuff.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata tiada laporan polis dibuat mengenai dakwaan kejadian pada 2 Okt 2018, yang dinyatakan dalam akuan bersumpah itu.

Malaysiakini tidak dapat menghubungi pesuruhjaya sumpah yang menyaksikan akuan bersumpah itu. Pejabatnya mendakwa pesuruhjaya sumpah tersebut kini berada di luar negara.

Malam tadi, Badrul Hisham membuat hantaran di Facebooknya menafikan sebarang penglibatan dalam “skandal.” Tidak pasti apa yang dirujuknya. Walau bagaimanapun, hantarannya itu disertai oleh tangkap layar mesej telefon merujuk kepada “PC Skandal DSAI”.

Dalam satu kenyataan pada petang ini, Farhash menuduh Yusuff dimanipulasi oleh Badrul Hisham.

“Inilah contoh manusia hina yang tidak kenal erti budi dan sanggup dipergunakan demi agenda tersendiri,” katanya.

[Baca berita asal]