Menganggap permohonan maaf Azwan Ali atau Diva AA dibuat tanpa kekesalan, usahawan produk kosmetik Hasmiza Othman bersikukuh meneruskan hasratnya untuk memfailkan saman terhadap selebriti kontroversi itu.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Vida berkata, tindakan itu diambil selepas menonton siaran secara langsung sidang media khas diadakan Azwan baru-baru ini yang dikatakan hanya memburukkan situasi.

“Kejujuran mohon maaf tu. Jika molek hari tu, tak ada la sidang media seperti hari ni. Tak perlu nak panjang-panjang cerita.

“Tapi bila tonton siaran tu lagi jadi sakit hati. Kemaafan hari tu lebih membakar dan meruntuhkan jiwa saya,” katanya.

Hasmiza ditemui pada sidang media khas diadakan di Bandar Utama, Petaling Jaya sebentar tadi. Hadir sama, peguam mewakili Hasmiza, Adnan Senan dari Adnan Sharida & Associate.

Azwan atau nama penuhnya Mohamed Azwan Ali sebelum ini mengadakan sidang media khas sehari selepas Hasmiza menuntutnya beberapa perkara termasuk memohon maaf – dalam tempoh 48 jam – susulan kenyataannya yang dibuat melalui beberapa rakaman klip video.

Dia didakwa menghina cara kematian dua anak lelaki Hasmiza selain membakar pemberian jutawan terbabit dalam video yang dimuat naik ke media sosial.

Dalam sidang media tersebut, Azwan memohon maaf selain memadam kenyataan yang dibuat terhadap Hasmiza depan petugas media.

Mengulas lanjut, Hasmiza berkata, disebabkan sidang media diadakan Azwan itu jugalah jiwanya berantakan hingga perlu mengambil tempoh seminggu untuk memikirkan apakah keputusan yang wajar diambil.

“Tempoh sidang media berlangsung terlalu lama hingga perlu buat saya ternanti-nanti sewaktu menonton siaran tu.

“Akhirnya, pada penghujung sidang media dia boleh cakap tak ada sebut nama dan tak ada kena mengena dengan saya pula. Betul-betul buang masa saya,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, anak guamnya berhak meneruskan dengan proses perundangan meskipun Azwan sudah memohon maaf.

“Anak guam saya bukan tuntut duit, jangan salah faham. Dia tuntut reputasinya yang tercemar.

“Orang yang alami pandangan buruk umum daripada penerbitan kata-kata hinaan masih ada hak untuk menyaman individu terbabit di mahkamah sekalipun dia sudah mohon maaf,” katanya.