Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 susulan peragaan peserta separuh bogel semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menyokong penganjuran acara Tattoo Malaysia Expo 2019 setelah meneliti dokumen lengkap dan kelulusan berkaitan daripada pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCeB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, 3 penganjuran awal acara ini pada 2015, 2015 dan 2017 di Kota Kinabalu, Sabah mendapat sokongan daripada Sabah Tourism Board (STB).

“Penganjuran pertama acara ini diberi nama ‘Sabah International Tattoo & Culture Convention 2015’, diadakan pada tahun 2015 di Kota Kinabalu dan penganjuran kali kedua pada tahun 2016 dan ketiga pada tahun 2017 acara ini dikomersialkan dengan nama ‘Sabah International Tattoo Convention’.

“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti ini adalah baik untuk industri pelancongan dan memberikan impak yang positif kepada ekonomi negara. Malahan, acara melukis tatu merupakan salah satu budaya yang signifikan bagi masyarakat Sabah dan Sarawak,” katanya.

MyCeB bagaimanapun berkata, pihak penganjur diwajibkan mematuhi segala syarat dan peraturan semasa yang ditetapkan. Bahkan agensi itu berhak membatalkan segala bentuk sokongan sekiranya berlaku pelanggaran syarat oleh pihak penganjur seperti yang berlaku kini.

“Maklumat terkini pihak penganjur sudah dipanggil pagi ini oleh polis untuk memberi keterangan berkenaan dengan isu ini,” katanya.

Semalam tular di media sosial gambar berserta visual peragaan peserta separuh bogel dalam satu acara yang dianjurkan pada expo berkenaan. Tatto Malaysia Expo 2019 yang berlangsung pada 29 November sehingga semalam menghimpunkan peserta dari 35 negara.

Sementara itu Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi berkata, kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 susulan peragaan peserta separuh bogel diadakan pada acara itu.

“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa adalah baik untuk industri pelancongan negara, tetapi bukan dengan cara sebegini. Ia tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan.

“Adalah mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen lucah seperti itu sebab ia bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat adalah beragama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.