Penerbit filem TV, A Aida, berkata dia tergerak hati untuk mengadakan tahlil, doa selamat dan menziarahi pusara Cik Siti Tanah Masyhur sebelum memulakan projeknya.

Kata A Aida ketika ini dia sedang di peringkat awal untuk menyiapkan sebuah filem layar lebar pertamanya yang diadaptasi daripada kisah wanita terbabit.

Menurut A Aida, dia dan kru produksinya berangkat ke Kota Tinggi, Johor sebelum memulakan penggambaran filem tersebut, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda pada Mei 2018.

“Saya tergerak hati nak buat tahlil dan ziarah kubur arwah sebagai tanda hormat.

“Biasanya kalau dah timbul gerak hati macam tu, saya akan buat…. macam ada sixth sense. Kita kena hormat arwah sebab nak ceritakan kisah dia kepada umum,” katanya.

Tidak menganggap ia satu kesalahan, A Aida berkata, dia juga berbuat demikian agar tiada perkara luar jangka mengganggu proses menyiapkan filemnya ketika penggambaran berlangsung.

“Saya tak rasa ia salah,” katanya.

A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Keluar masuk sebulan

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda diinspirasikan daripada kisah seorang wanita dikenali sebagai Cik Siti Tanah Masyhur atau Cik Siti Jalang yang dikatakan berkahwin sebanyak 99 kali.

Mengikut kisahnya semua lelaki yang ingin berkahwin dengan Cik Siti Tanah Masyhur – yang didakwa sangat jelita – diletakkan syarat iaitu menyediakan keranda dan kain kafan sebagai persediaan.

Bagaimanapun semua suaminya meninggal dunia kecuali yang ke-100.

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang mendapat arahan Bade Azmi itu dibintangi Nadia Brian yang membawa watak Cik Siti Tanah Masyhur. Turut menjayakan filem tersebut antaranya ialah Fizz Fairuz, Amar Asyraf, Eyra Hazali, Octavia Manros dan Firman Siagian.

A Aida (duduk, tengah) bersama kru dan pelakon filemnya

Filem berkenaan dijadual menjengah pawagam pada 27 Februari ini.

Melalui peruntukan berjumlah lebih RM2 juta, A Aida memang berharapk naskah terbitan pertama syarikatnya itu mendapat tempat di hati peminat.

Bagaimanapun, katanya, dia berdepan proses suntingan begitu rumit apabila filem berkenaan secara tidak sengaja dihasilkan melebihi tempoh durasi diwajibkan pempamer.

“Panjang filem itu apabila digabungkan semua menjadi lima jam. Justeru saya terpaksa menyuntingnya sendiri kerana ini adalah karya yang saya tulis sendiri.

“Disebabkan banyak masa digunakan untuk menyunting filem ini, saya sampai jadi blur (tenggelam punca) dan asyik termenung selama sebulan gara-gara keluar masuk studio,” katanya.