Sempena tarikh dianggap ‘cantik’ hari ini – iaitu 20-02-2020, pasangan pelakon Zahirah MacWilson dan Aiman Hakim Ridza sah menamatkan zaman bujang mereka dalam majlis pernikahan secara tertutup di Petaling Jaya, sebentar tadi.

Perkara itu disahkan menerusi akaun rasmi peminat pasangan tersebut.

Semakan Malaysiakini mendapati, sejak pagi tadi lagi memang Zahirah memuat naik foto praperkahwinannya melalui peragaan busana bertema Bollywood, lengkap dengan tanda pagar gabungan nama mereka.

Sebelum ini, pasangan terbabit mengunci mulut masing-masing apabila ditanya mengenai tarikh pernikahan mereka, atas alasan mahu menjadikannya sebagai kejutan semua pihak.

Zahirah, 25, dan Aiman, 31, mula berkenalan sejak empat tahun lalu sebelum mula rapat pada Nov 2018.

Jun tahun lalu, pasangan tersebut mengikat tali pertunangan di Australia.

Zahirah sebelum ini mengakui perkahwinan adalah satu fasa baru dalam hidupnya, manakala bagi Aiman, kehadiran Zahirah dalam hidupnya umpama satu anugerah besar yang sentiasa dinantikan.