Dua lelaki warga Kemboja masing-masing dikenakan hukuman penjara 26 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Segamat, hari ini atas kesalahan memiliki beberapa bahagian anggota badan hidupan liar yang dilindungi, pertengahan bulan lepas.

Hakim Rasidah Roslee menjatuhkan hukuman itu terhadap Some Doeun, 47, dan Chantha Sambath, 49, selepas mereka mengaku salah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Khmer.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, pada 16 Okt lalu, Doeun dan Sambath didapati menyimpan bahagian bulu pelepah burung Kuang Raya atau nama saintifiknya Argusianus Argus yang merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, mereka dituduh tanpa lesen menyimpan tiga bahagian daging Babi Bodoh (Sus Barbatus) yang juga merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, serta taring Landak Raya (Hystrix Brachyura) yang tersenarai sebagai spesies hidupan liar terlindung dalam Jadual Kedua akta berkenaan.

Babi Bodoh tergolong senarai merah spesis haiwan terancam sejak 2008.

Semua kesalahan dilakukan di kawasan Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai) dalam daerah Labis, di Segamat, pada 16 Okt kira-kira 8.30 pagi dan mereka didakwa mengikut Seksyen 68(2)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Pendakwaan juga dibuat mengikut Seksyen 60(1)(b) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, serta Seksyen 68(1)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam penghakimannya, Rasidah menerangkan kewajaran hukumannya kerana mengambil kira hidupan liar terlindung yang kini semakin pupus akibat perbuatan jenayah manusia.

Keadaan ini katanya mengundang kekhuatiran bahawa generasi akan datang tidak akan dapat mengetahui dan mengenali rupa atau wajah hidupan liar ini.

Pendakwaan kes itu dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Johor, Mohd Saiful Mohd Zin.

Di Mahkamah Majistret pula, Doeun berdepan tiga pertuduhan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989 dan satu pertuduhan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Tiga pertuduhan Enakmen Taman Negara itu adalah berkaitan kesalahan membawa senjata kapak dan parang semasa berada dalam Taman Negara Johor; merosak dan membakar tumbuh-tumbuhan yang ada dalam taman berkenaan dan memasuki taman terbabit tanpa sebarang permit.

Hidupan liar terancam, burung Kuang Raya.

Satu lagi pertuduhan pula adalah kerana tinggal di Malaysia setelah tamat tempoh pas sosial lawatan yang dikeluarkan terhadapnya.

Doeun yang mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Majistret Salina Omar kemudian dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan untuk setiap pertuduhan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) dan 12 bulan untuk kesalahan Imigresen, bagaimana semua hukuman dijalankan secara serentak.

Sambath pula berdepan dengan dua pertuduhan di bawah enakmen sama iaitu membawa senjata kapak dan parang semasa berada dalam Taman Negara Johor; dan memasuki taman terbabit tanpa sebarang permit.

Sambath juga dituduh tidak memiliki apa-apa pas mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini dan menyebabnya melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Seperti Doeun, dia juga mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan dikenakan hukuman penjara tiga bulan untuk setiap pertuduhan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) dan 12 bulan untuk kesalahan Imigresen, yang menyaksikan semua hukuman turut dijalankan secara serentak.

Kes pendakwaan Taman Negara yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Helmaterliti itu adalah kes pendakwaan pertama yang berjaya dijalankan setelah 27 tahun penubuhan Taman Negara Johor.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

– Bernama