Ketua Pembangkang Ismail Sabri, Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid dan Naib Presiden PAS Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: Pembangkang membidas peringatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas polis meminta kempen rumah ke rumah perlu mendapat permit, tertanya kenapa perkara ini timbul semasa kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

“Apa yang dilakukan SPR mestilah berdasarkan undang-undang dan akta,” kata Ketua Pembangkang, Ismail Sabri kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Sekarang ini tambah lagi peraturan baru. Saya pun tidak faham dengan SPR ini. Dari segi mana?” tambahnya, dan mengingatkan SPR bahawa ia sepatutnya sebuah badan berkecuali.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid berkata gesaan SPR itu “tidak masuk akal” dan “tidak adil” kepada semua parti bertanding memandangkan kempen rumah ke rumah sudah menjadi amalan semasa musim pilihan raya.

“Terlampau ketat. Janganlah itu pun dijadikan peraturan. Itu pun hendak minta kebenaran,” katanya.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad pula percaya ia boleh menyukarkan parti dan calon bertanding bertemu pengundi secara langsung.

“Jika calon mahu pergi ke 100 buah rumah, perlu dapatkan 100 permit?” katanya, dan menambah pembangkang terutamanya sukar menyampaikan maklumat menerusi media arus perdana.

SPR hari ini memaklumkan polis meminta semua parti dan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai supaya mendapatkan permit bagi kempen rumah ke rumah kerana ia juga satu bentuk berkempen.

Kempen pilihan raya kecil bermula 2 Nov lalu manakala hari pengundian adalah pada 16 Nov ini. Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.

Sementara itu, Ismail berkata pembangkang akan melihat kemungkinan mencabar tindakan SPR itu.

“Walaupun tidak sekarang tapi kita melihat dari segi kemungkinan mencabar tindakan SPR tersebut,” katanya.