KLANG – Cubaan dua kumpulan nelayan warga asing menangkap ikan di Pulau Ketam di sini tidak kesampaian selepas diberkas pada jarak 0.5 batu nautika dari pulau itu, malam tadi. 

Dalam kejadian pukul 11.08 malam tersebut, seramai 10 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Myanmar ditahan Maritim Malaysia (APMM) berusia 19 hingga 53 tahun. 

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penangkapan PATI itu dilakukan menerusi Ops Ehsan selepas mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di laut. 

Katanya, hasil pemeriksaan itu menahan empat lelaki warga Indonesia dan seorang Myanmar. 

“Selang tujuh minit kemudiannya, kita menahan sebuah lagi bot dengan lima nelayannya iaitu tiga PATI Indonesia dan selebihnya Myanmar sedang leka menangkap ikan di kawasan berhampiran. 

“Hasil siasatan awal mendapati mereka telah berada di negara ini sejak setahun lalu dan bekerja sebagai nelayan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas beliau, kes kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 berikutan melanggar syarat sah lesen. – K! ONLINE